Lelaki gagal rayuan, kekal dipenjara 1o tahun, dua sebatan kerana merompak

Seorang lelaki gagal dalam rayuan terakhirnya apabila Mahkamah Rayuan mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 10 tahun dan dua sebatan kerana melakukan rompakan berkumpulan. Gambar hiasan
Seorang lelaki gagal dalam rayuan terakhirnya apabila Mahkamah Rayuan mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 10 tahun dan dua sebatan kerana melakukan rompakan berkumpulan. Gambar hiasan
A
A
A

PUTRAJAYA - Seorang lelaki gagal dalam rayuan terakhirnya apabila Mahkamah Rayuan mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 10 tahun dan dua sebatan kerana melakukan rompakan berkumpulan.

Panel tiga hakim terdiri daripada Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali, Datuk Mohamed Zaini Mazlan dan Datuk Azmi Ariffin pada Rabu mengekalkan keputusan Mahkamah Sesyen bahawa Mohd Azwan Taleb bersalah atas jenayah terbabit, dengan Mahkamah Tinggi turut mengesahkan keputusan itu.

Hakim Che Mohd Ruzima turut memutuskan bahawa hukuman penjara 10 tahun yang dikenakan terhadap lelaki bekerja sendiri itu adalah wajar, munasabah dan tidak berlebihan.

Ketika menyampaikan keputusan mahkamah, beliau berkata, mangsa dapat mengenal pasti dengan jelas identiti Mohd Azwan sebagai individu yang merompaknya.

Beliau berkata, unsur-unsur pertuduhan telah dipertimbangkan oleh mahkamah rendah.

Pada 23 Jun 2022, Mahkamah Sesyen menjatuhkan hukuman 10 tahun penjara dan dua sebatan masing-masing terhadap Azwan, 38, dan Faizal Izzat Zainal Azman, 34, kerana melakukan kesalahan rompakan berkumpulan terhadap Nazirah Hasan Baseri, 47.

Dua lelaki itu mencuri beberapa barang termasuk kereta jenis Honda Jazz, wang tunai RM350, sebuah iPhone 6 Plus dan kunci peti keselamatan, di rumah mangsa di Taman Meru Perdana, Kuala Kuang, Ipoh, Perak pada 8.15 pagi, 6 September 2019.

Mahkamah Tinggi menolak rayuan dua individu terbabit pada 15 Disember tahun lepas. Mohd Azwan kemudian meneruskan rayuan ke Mahkamah Rayuan manakala Faizal Izzat tidak mengemukakan sebarang rayuan lagi.

Artikel Berkaitan:

Peguam Mohd Azwan, Raja Mohd Iskandar Zulkharnian Raja Abdul Malek berhujah bahawa pengenalpastian mangsa terhadap anak guamnya itu adalah meragukan.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Zander Lim Wai Keong berkata mangsa dapat mengenal pasti Mohd Azwan kerana kenderaan yang dinaiki mereka menghampiri mangsa dengan perlahan, tingkap tidak berwarna gelap dan lelaki itu juga tidak memakai topeng. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!