71 jam padam kebakaran, tinggal 10 peratus lagi

Anggota JBPM Kelantan bertungkus-lumus memadam kebakaran di tapak pengumpulan barangan kitar semula di Kawasan Perindustrian Pengkalan Chepa 2.
Anggota JBPM Kelantan bertungkus-lumus memadam kebakaran di tapak pengumpulan barangan kitar semula di Kawasan Perindustrian Pengkalan Chepa 2.
A
A
A

KOTA BHARU - Anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan sudah bertungkus-lumus selama 71 jam untuk memadam kebakaran di tapak pengumpulan barangan kitar semula di Kawasan Perindustrian Pengkalan Chepa 2, di sini yang terbakar pada Ahad lalu.

Kebakaran yang melibatkan kawasan seluas 0.48 hektar itu dipenuhi dengan bahan sisa pepejal seperti getah, PVC, plastik dan kain.

Ketua Operasi, Penolong Kanan Penguasa Bomba Alam Nasut Ilias berkata, operasi pemadaman yang telah memasuki hari keempat semakin bertambah baik dan sehingga jam 5 petang ini kawasan terbakar tinggal 10 peratus sahaja.

"Insya-ALLAH dengan komitmen seluruh anggota, kita akan menyelesaikan tugas ini esok.

"Setakat ini seramai 36 anggota telah bertungkus-lumus sepanjang kerja-kerja memadam kebakaran," katanya ketika dihubungi pada Rabu.

Menurut beliau, ia melibatkan beberapa balai bomba dan penyelamat seperti Pengkalan Chepa, Kota Bharu, Wakaf Bharu dan Pasir Tumbuh.

Kebakaran yang melibatkan kawasan seluas 0.48 hektar itu dipenuhi dengan bahan sisa pepejal seperti getah, PVC, plastik dan kain.
Kebakaran yang melibatkan kawasan seluas 0.48 hektar itu dipenuhi dengan bahan sisa pepejal seperti getah, PVC, plastik dan kain.

Artikel Berkaitan:

Ujarnya, anggota bomba sukarelawan serta dari Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra turut sama terlibat serta bantuan air dari Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB).

Sinar Harian pada Selasa melaporkan kebakaran tapak pengumpulan bahan kitar semula telah berjaya dipadamkan sehingga 60 peratus pada hari ketiga operasi pemadaman.

Ketua Zon 1, Penguasa Bomba Kanan 2 Khairul Ariffin Che Ramli berkata, semburan air dilakukan tanpa henti sejak kebakaran bermula.

Menurut beliau, semburan secara menyeluruh turut dilakukan bagi memastikan api tidak merebak ke kawasan lain.

“Bagaimanapun, pemadaman sukar dilakukan kerana barang kitar semula yang sudah dimampatkan disusun terlalu rapat dan tinggi sehingga tiga hingga ke lima meter.

“Kami terpaksa menggunakan bantuan jengkaut untuk mengalihkannya bagi memudahkan semburan di lakukan di bahagian bawah,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!