Johan Musabaqah Kelab TaHa bawa pulang wang tunai RM1,000, pakej percutian

Muhammad Irfan Syakir Romainor dan Nur Aufa Hanis Nazri.
Muhammad Irfan Syakir Romainor dan Nur Aufa Hanis Nazri.
A
A
A

SHAH ALAM - Musabaqah Kelab TaHa Peringkat Kebangsaan 2024 anjuran Lembaga Tabung Haji (TH) telah menyaksikan Muhammad Irfan Syakir Romainor yang mewakili wilayah selatan dan Nur Aufa Hanis Nazri mewakili wilayah utara dinobatkan sebagai Johan Qari serta Qariah.

Kedua-duanya membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM1,000 dan baucar pakej percutian domestik bernilai RM500.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Syed Hamadah Syed Othman berkata, penganjuran program tersebut bertujuan membantu melahirkan generasi celik Al-Quran.

Syed Hamadah (tujuh dari kiri) bersama semua peserta Musabaqah Kelab TaHa Peringkat Kebangsaan 2024.
Syed Hamadah (tujuh dari kiri) bersama semua peserta Musabaqah Kelab TaHa Peringkat Kebangsaan 2024.

Menurutnya, ia juga menjadi wadah untuk TH memainkan peranan memartabatkan kitab suci itu dalam kehidupan anak-anak remaja terutamanya bagi mendepani cabaran dunia digital masa kini.

“Alhamdulillah, dalam penganjuran program sepanjang dua tahun lepas, kita telah menyaksikan anak-anak sekecil sembilan dan 11 tahun menjadi johan dan naib johan atas kehebatan mereka mengalunkan ayat suci al-Quran.

“Buat pertama kalinya tahun ini, kita membuka penyertaan kepada ahli-ahli remaja yang berusia 13 hingga17 tahun daripada ahli TaHa Bestari.

“Kami berharap dengan penganjuran majlis seperti ini akan menjadi langkah awal dalam menerapkan asas al-Quran kepada diri anak-anak sejak kecil lagi selain melahirkan anggota masyarakat berpaksikan agama sebagai tunjang kehidupan, Insya-ALLAH,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Artikel Berkaitan:

Salah seorang peserta Musabaqah Kelab TaHa mempersembahkan alunan bacaan al-Quran.
Salah seorang peserta Musabaqah Kelab TaHa mempersembahkan alunan bacaan al-Quran.

Sementara itu, Johan Qari, Muhammad Irfan Syakir, 16, berkata, dia tidak menyangka dipilih menjadi juara dan semua usahanya membuahkan hasil.

Menurut remaja yang berasal dari Selandar, Melaka itu, masa yang diperuntukkan untuk berlatih ialah tiga jam sehari untuk memantapkan tajwid dan alunan tarananum.

“Saya memang elakkan daripada minum minuman berais dan makanan berminyak bagi memastikan suara saya lancar dan Alhamdulillah, usaha ini berbaloi,” ujarnya.

Dalam pada itu, menurut Johan Qariah, Nur Aufa Hanis,14, kemenangan itu amat bermakna lebih-lebih lagi dia dinobatkan sebagai juara di peringkat kebangsaan setelah menyertai pelbagai pertandingan tilawah al-Quran.

Remaja yang berasal dari Kulim, Kedah itu berkata, program tersebut sangat bagus terutama bagi mendekatkan generasi muda kepada kitab suci al-Quran selain mendidik kaedah bacaan tajwid dan taranum yang betul.

“Alhamdulillah, saya sangat gembira kerana telah membanggakan ibu bapa saya.

"Setiap minggu saya berulang daripada Kulim ke Baling untuk belajar mengaji dengan guru juga ibu saudara saya, Hasnah Ayob yang telah banyak mengajar serta membimbing saya terutamanya daripada sudut bacaan dan pernafasan saya,” katanya.

Program tersebut turut menyaksikan lima peserta lelaki dan lima peserta perempuan bersaing untuk merebut gelaran johan peringkat kebangsaan bagi kategori qari dan qariah.

Johan qari dan qariah peringkat negeri kemudiannya akan bersaing untuk merebut peluang mewakili wilayah masing-masing sama ada dari wilayah utara, tengah, selatan, timur dan Sabah-Sarawak.

Penganjuran itu telah dilaksanakan sejak bulan Mei lepas dan mendapat sambutan yang menggalakkan daripada guru serta pelajar sekolah di setiap negeri dengan lebih 1,000 penyertaan diterima.

Alunan bacaan al-Quran setiap peserta telah dinilai secara profesional oleh barisan hakim yang dianggotai oleh Johan Qariah Tilawah Antarabangsa 2022, Sofizah Mousin dan dua juri daripada TH.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!