Anggota bomba wanita dinobat pelatih terbaik kursus STORM
MARANG - Anggota bomba wanita Saredah Mohd Salleh, 41, dinobatkan sebagai pelatih terbaik pada Majlis Tamat Latihan Kursus Asas Pasukan Khas Operasi, Taktikal dan Penyelamat Malaysia (STORM) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Siri 1/2024 pada Rabu.
Saredah yang kini bertugas di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Presint 14, Putrajaya meraih pengiktirafan berkenaan selepas mengetepikan 32 peserta lelaki dan dua wanita berusia lingkungan 20 hingga 30 tahun.
Saredah berkata, minat mendalam terhadap tugas lasak mendorong beliau menyertai kursus STORM, iaitu unit elit dan paling sukar dalam JBPM.
Ibu kepada dua anak yang berasal dari Melaka itu berkata beliau tetap cekal menghabiskan latihan demi mencapai cita-citanya meskipun terpaksa mengharungi latihan berat dan mencabar selama sebulan.
"Usia tidak pernah menjadi halangan kerana saya memang meminati pekerjaan lasak. Tujuan saya menyertai kursus ini adalah untuk berkhidmat dalam operasi bencana yang mencabar dan juga misi kemanusiaan di luar negara.
"Latihan paling sukar ialah jalan lasak sejauh 18 kilometer dengan membawa beban seberat 70 kilogram. Saya mengambil masa lebih tiga jam untuk menghabiskan ujian itu,” katanya ketika ditemui pada Majlis Tamat Latihan STORM di Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia Wilayah Timur, Wakaf Tapai pada Rabu.
Saredah berkata, beliau bernasib baik kerana mendapat sokongan dan galakan daripada suaminya yang juga bertugas sebagai anggota bomba di BBP Kajang.
Sementara itu, Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat JBPM, Nordin Pauzi berkata, terdapat hanya sembilan anggota STORM wanita di Malaysia.
Beliau berkata, mereka yang terpilih telah melalui latihan fizikal dan mental yang benar-benar lasak dan mencabar.
"Kita ada 594 anggota STORM di seluruh Malaysia setakat ini. Oleh itu saya amat menggalakkan lebih ramai anggota dan pegawai menyertai kursus ini untuk meningkatkan mutu perkhidmatan bomba,” katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!