Perbicaraan kes 1MDB: Panggil 11 saksi bukan strategi baharu pembelaan

Haniff Khatri (kanan) ketika program Interviu bertajuk ‘Kes 1MDB dan nasib Najib’ pada Rabu.
Haniff Khatri (kanan) ketika program Interviu bertajuk ‘Kes 1MDB dan nasib Najib’ pada Rabu.
A
A
A

SHAH ALAM - Permohonan memanggil 11 saksi termasuk bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam perbicaraan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) merupakan kelangsungan perancangan pasukan pembelaan sejak awal pendakwaan.

Peguam, Haniff Khatri Abdulla berkata, ia bukan strategi baharu yang dirangka pada peringkat pembelaan bagi tujuan memberi kelebihan dan kemenangan pada kes tersebut.

Ujar beliau, undang-undang juga tidak menghalang sekiranya saksi terdahulu dipanggil semula untuk memberi keterangan di mahkamah.

“Namun 11 saksi yang dinyatakan oleh pihak pembelaan Najib adalah saksi baharu.

"Jadi kita perlu menunggu dan melihat bagaimana keterangan yang ditampilkan,” katanya dalam program Interviu bertajuk ‘Kes 1MDB dan nasib Najib’ pada Rabu.

Program yang dihoskan Haizir Othman itu berlangsung menerusi siaran di semua platform digital Sinar Harian.

Sebelum ini, Najib pada Rabu diperintah bela diri oleh Mahkamah Tinggi atas pendakwaan empat kes menggunakan kedudukan untuk suapan hampir RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram babit wang sama.

Hakim, Datuk Collin Lawrence Sequerah memutuskan demikian selepas mendapati pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie di akhir pendakwaan.

Artikel Berkaitan:

Menurut Haniff Khatri, pembelaan kes bekas Presiden UMNO itu dijangka selesai pada penghujung tahun hadapan.

Ulasnya, jangkaan itu didorong oleh beberapa faktor termasuk kes tersebut memakan masa selama enam tahun, 11 hari setengah bagi tempoh pembentangan hujah dan seramai 50 saksi telah dipanggil oleh pihak pendakwaan.

“Jangan kita lupa juga bahawa Sequerah kini merupakan hakim Mahkamah Rayuan bermaksud beliau akan mempunyai tanggungjawab mendengar kes-kes rayuan bersama panel rayuan di Putrajaya.

“Pada masa sama, apabila beliau teruskan kes perbicaraan Najib di tahap pembelaan, beliau perlu mengosongkan beberapa hari atau minggu untuk (Najib) dibenarkan datang ke Mahkamah Tinggi dalam menyelesaikan kes.

“Namun, ini adalah jangkaan (kes tersebut) akan makan masa lebih kurang sampai penghujung tahun hadapan sebelum kita dapat melihat kes 1MDB melibatkan 25 pertuduhan ini selesai,” ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!