Melawan virus berita palsu

A
A
A

SEMASA negara sedang menghadapi wabak koronavirus, Presiden Seniman dan ahli UMNO, Rozaidi Jamil atau lebih dikenali sebagai Zed Zaidi telah memuat naik suatu ciapan melalui laman Twitter yang mengandungi sebuah foto. Foto tersebut mengatakan bahawa kesemua negara telah mengharamkan kemasukan pelancong China kecuali Malaysia.

Pada masa ciapan itu dibuat, kenyataan tersebut tidak benar. Pada masa itu, tidak ada negara yang menghalang terus mana-mana pelawat atau pelancong dari negara China kecuali Korea Utara. Jelas bahawa Zed Zaidi telah memuat naik ciapan yang palsu.

Terdapat banyak lagi hantaran-hantaran media sosial yang dibuat mengenai wabak koronavirus yang merupakan kenyataan palsu.

Kita juga melihat bagaimana beberapa individu telah ditahan polis dan setakat ini dua orang individu telah dihadapkan ke mahkamah kerana hantaran-hantaran mereka mengenai wabak tersebut. Zed Zaidi sendiri telah diminta memberi keterangan kepada pihak berkuasa.

Menurut Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, situasi wabak koronavirus dalam keadaan terkawal. Malah, menurut survei yang dibuat oleh Global Health Security Index, Malaysia di tangga ketiga di Asia dalam kesiapsiagaan menghadapi wabak penyakit berjangkit.

Negara kita mempunyai pengalaman luas dalam mengendalikan wabak koronavirus seperti SARS dan MERS sebelum ini. Pada tahun 1998-1999, negara kita dilanda wabak Nipah yang mempunyai kadar kematian yang tinggi iaitu 77.6 peratus. Setiap satu daripada pengalaman negara kita menguatkan lagi kesiapsiagaan kita.

Malah, baru-baru ini, wakil Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah memuji tindakan pihak berkuasa Malaysia dalam mengurus dan membendung penularan jangkitan koronavirus.

“Kami (WHO dan orang ramai) boleh melihat semua maklumat, dan maklumat itu dikeluarkan dengan pantas di media sosial serta laman sesawang kementerian kesihatan, jadi saya rasa mereka telah melakukannya dengan baik sekali,” menurut wakil tersebut, Dr Lo Ying-Ru.

Artikel Berkaitan:

Malangnya, Malaysia juga terpaksa berhadapan dengan wabak ‘virus berita palsu’. Dr Dzulkefly sendiri mengakui bahawa penularan berita palsu itu amat serius.

Menangani dan memperbetulkan sebaran berita palsu ini memakan masa dan sumber yang sedia ada. Sepatutnya, kesemua usaha ditumpukan kepada menangani wabak koronavirus tetapi terpaksa disalurkan juga untuk melawan berita palsu.

Ia juga tidak membantu apabila terdapatnya personaliti seperti Zed Zaidi yang begitu mudah, dan tanpa rasa tanggungjawab, menyebarkan perkara yang jelas tidak benar. Malangnya, ada pihak-pihak yang sengaja mahu menyebabkan ketakutan dan kegusaran awam dengan menyebarkan maklumat palsu itu.

Oleh itu, tindakan Peguam Negara untuk mendakwa beberapa individu di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan perlu dilihat melalui aspek keperluan sejagat.

Seksyen 5050(b) adalah kesalahan membuat kenyataan dengan niat untuk atau mungkin menyebabkan ketakutan atau kegentaran awam. Ia bukan kesalahan menyebarkan berita palsu sahaja, ada elemen ketakutan awam yang perlu dibuktikan.

Sudah tentu, rakyat punya hak untuk bebas bersuara. Tetapi dalam keadaan getir seperti sekarang, terdapat kewajaran menyekat kenyataan yang dibuat dengan tidak bertanggungjawab dan menjurus kepada ketakutan awam.

Pada masa yang sama, kita juga punya tanggungjawab untuk melawan ‘virus berita palsu ini’. Di media sosial dan dalam kumpulan WhatsApp, kita sebagai rakyat yang bertanggungjawab harus memperbetulkan maklumat palsu yang terlintas di hadapan skrin telefon atau komputer kita.

* Syahredzan Johan ialah peguam di sebuah firma di Kuala Lumpur

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!