Aksi persahabatan Harimau Malaya menentang India diawalkan sehari
PERLAWANAN persahabatan antarabangsa Tier 1 antara India dan Malaysia yang dijadualkan berlangsung pada 19 November di sana terpaksa diawalkan sehari atas persetujuan bersama kedua-dua pasukan.
Berdasarkan hantaran Facebook Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) hari ini, pertembungan pada 18 November itu akan berlangsung di Stadium Gachibowli, Hyderabad, India.
"Pada pengumuman sebelum ini, perlawanan menentang India dijadual pada 19 November, namun atas persetujuan bersama, ia diawalkan sehari ke Isnin, 18 November dengan perlawanan akan berlangsung di Stadium Gachibowli,” mengikut hantaran itu.
Perubahan itu bagaimanapun tidak menjejaskan jadual perlawanan persahabatan antarabangsa Tier 1 antara Laos dan Malaysia di Stadium Pat, Bangkok pada 14 November.
Sebelum ini, FAM mengesahkan skuad Harimau Malaya bimbingan Pau Marti Vicente akan bertemu India pada aksi persahabatan antarabangsa Tier 1 pada 19 November di venue yang akan ditentukan.
Berdasarkan kedudukan terkini ranking Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), Malaysia menghuni tempat ke-133 manakala India (125) dan Laos (187).
Kedua-dua perlawanan persahabatan antarabangsa itu merupakan tonik terbaik buat Malaysia yang diundi dalam Kumpulan A Kejohanan ASEAN 2024 bermula Disember ini bersama juara bertahan Thailand serta Kemboja, Singapura dan Timor-Leste. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!