Sering dikaitkan nama pelakon


Nama Seniwati Che Kob yang tertera di MyKad menjadikan dirinya tumpuan sejak kecil sehingga kini.
Nama Seniwati Che Kob yang tertera di MyKad menjadikan dirinya tumpuan sejak kecil sehingga kini.
A
A
A

TEMERLOH - Seniwati Saadiah, Sarimah ialah antara gelaran yang seringkali dikaitkan dengan dirinya.

Ia berikutan nama unik yang dimiliki oleh seorang guru dan penyelia Kelas Fardhu Ain (Kafa) di sebuah sekolah di sini.

Nama sebenarnya ialah Seniwati Che Kob bukan rekaan tapi itu yang tertera sejak di kad pengenalan milik anak kelahiran Tanah Merah, Kelantan itu.

Anak ke-11 daripada 12 beradik itu mengakui pelbagai gelaran telah diberikan dan lali kerana nama tersebut.

Ketika ditemui Sinar Harian, Seniwati, 32, menjelaskan nama tersebut diberikan oleh Allahyarham ayahnya, Che Kob Mat Ali.

“Sebenarnya ada kisah di sebaliknya. Ayah pada mulanya ingin daftarkan nama Siti Aisyah tetapi sebaik tiba di balai polis lain pula jadinya.

“Ketika membuat pendaftaran surat beranak, ayah secara spontan memberikan nama Seniwati dan memang kena bebel juga dengan ibu, Fuziah Mohd Noor, 71, selepas pulang ke rumah,” katanya tertawa mengingati kenangan tersebut.

Ujar Seniwati atau lebih mesra dengan panggilan Seni, hanya beliau yang memiliki nama unik dalam keluarganya.

Artikel Berkaitan:

“Lain-lain nama macam biasa iaitu Zainun, 66; Sanipah, 60; Che Ghani, 50; Rogayah, 47; Cik Zainab, 46; Sarina, 43; M Affandi, 41; Zaidi, 50; Rohani, 38 dan adik bongsu, Maizatul Akma, 29 tahun.

“Disebabkan saya rasa pelik dengan nama sendiri, masa berusia sembilan tahun memang meronta-ronta hendak tukar nama lain.

“Sudah siap isi borang pertukaran nama tetapi puas dipujuk kakak-kakak dan akhirnya nama ini kekal hingga sekarang,” jelasnya ibu kepada lima cahaya mata itu.

Katanya, antara alasan dia tidak jadi berbuat demikian apabila kakaknya memberitahu sayang jika bertukar nama kerana semua sijil-sijil yang diraih sudah tertera nama Seniwati.

Bukan pengaruh filem

Seni mengakui sering menerima pertanyaan sama ada ibu bapanya memberikan nama tersebut kerana pengaruh filem Melayu.

Bertugas sebagai guru Kafa sejak tahun 2013 hingga kini, Seniwati mengakui ketika zaman persekolahan, dirinya dikenali kerana aktif dalam pelbagai bidang.

“Ketika di alam persekolahan, saya aktif dalam aktiviti indoor dan outdoor. Banyak pertandingan seperti syarahan, bahas, hafazan al-Quran, nyanyian, sukan seperti bola tampar, ping pong, badminton saya sertai dan ada hingga mewakili peringkat daerah.

Seniwati ketika mengajar di kelas.
Seniwati ketika mengajar di kelas.

“Memang ketika itu, nama saya dikenali di sekolah dan bila nama dipanggil, rakan-rakan memang akan berikan sokongan dan menyorak nama saya selain menambah sendiri dengan pelbagai nama artis di belakang namanya,” kata bekas pelajar Sekolah Kebangsaan Batu Gajah dan Sekolah Menengah Agama Darul Ulum itu lagi.

Bekas penuntut Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra dalam jurusan syariah itu juga berkata, situasi sama berlaku ketika di kolej apabila dia menjadi tumpuan kerana keunikan namanya.

Ditanya penerimaan suami, Mohd Khairi Salleh, 33, ketika kali pertama mengetahui namanya, Seni mengakui yang anggota tentera itu terkejut namun teruja dengan nama dimilikinya.

Jelasnya, hingga kini Seni masih aktif mewakili dalam persatuan Badan Kebajikan Angkatan Tentera Malaysia (Bakat) antaranya dalam pertandingan tilawah al-Quran dan bergelar johan beberapa Kali.

“Sama juga dengan anak-anak murid terkejut tapi teruja pula bila tahu nama saya,” katanya tersenyum apabila mengingati semua kenangan tersebut.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!