Polis klasifikasi semula kes lelaki maut di Chemor sebagai bunuh tanpa niat

Laporan Sinar Harian.
Laporan Sinar Harian.
A
A
A

IPOH - Polis mengklasifikasikan semula siasatan kes kematian lelaki warga emas dipercayai dibunuh seorang wanita di hadapan pintu masuk sebuah pasar raya di Klebang, Chemor dekat sini pada 24 Oktober lepas daripada Seksyen 302 Kanun Keseksaan kepada Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, pertukaran seksyen itu dibuat selepas mendapat arahan daripada Timbalan Pendakwa Raya baru-baru ini.

"Kita siasat daripada pelbagai aspek dan merumuskan bahawa terdapat serangan fizikal yang boleh menjurus kepada punca kematian mangsa yang dilakukan oleh suspek.

"Namun, punca kematian mangsa masih lagi dalam siasatan pihak polis,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Pertukaran Bangunan Cawangan Penguatkuasaan dan Kawalan Lalu Lintas Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh di sini hari ini.

Sebelum ini, suspek yang berumur dalam lingkungan 24 tahun telah ditahan pada 24 Oktober lepas setelah mangsa ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri oleh orang awam di hadapan pintu masuk pasar raya berkenaan kira-kira jam 6.13 petang.

Abang Zainal berkata, ketika ini reman terhadap suspek yang bermula pada 25 Oktober lepas disambung hingga 4 November bagi membolehkan siasatan dilakukan.

Selain itu, beliau berkata, pihaknya giat mengesan seorang lagi suspek yang dipercayai lelaki warga tempatan bagi membantu siasatan terhadap insiden berkenaan.

Beliau seterusnya menyatakan polis sedang mengenal pasti beberapa lokasi sekitar Ipoh dan Sungai Siput yang disyaki menjadi tempat persembunyian suspek.

Artikel Berkaitan:

"Berdasarkan soal siasat dengan suspek pertama (wanita), lelaki ini merupakan rakan yang baru dikenali sebelum kes pembunuhan itu berlaku.

"Perincian lanjut suspek (lelaki) termasuk umur dan butiran diri yang lain masih belum diperolehi.

"Kita juga minta orang ramai yang mempunyai bukti dan maklumat berhubung kejadian ini tampil ke IPD Ipoh untuk membantu siasatan,” katanya.

Berkenaan majlis hari ini, beliau berkata Cawangan Penguatkuasaan dan Kawalan Lalu Lintas BSPT IPD Ipoh akan berpindah secara rasmi dari bangunan sewaan di Jalan Chamberlain Hulu ke bangunan baharu di Jalan Padang Tembak dan menggunakan talian 05-5252599.

Justeru, beliau berkata, semua urusan rasmi dan operasi pejabat berkaitan dengan cawangan itu akan dijalankan di bangunan dan alamat baharu, manakala untuk lain-lain urusan berkaitan pengurusan serta siasatan trafik daerah Ipoh masih di IPD Ipoh. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!