10 pelacur, tiga pelanggan kena cekup
SERI KEMBANGAN - Sebuah premis pelacuran di Taman Serdang Perdana di sini yang dipercayai menyasarkan pelanggan warga asing digempur pada Selasa.
Op Gegar itu dilaksanakan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Selangor bermula jam 10 malam hasil maklumat dan risikan selama dua minggu.
Pengarah Imigresen Selangor, Khairrul Aminus Kamaruddin berkata, serbuan ini menahan 10 wanita warga asing terdiri daripada enam warga Vietnam, Indonesia (2 orang) dan Thailand (2 orang) disyaki pelacur.
"Selain itu, kami menahan tiga lelaki warga India dipercayai pelanggan.
"Mereka yang ditahan ini berusia lingkungan 21 hingga 35 tahun," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Tambahnya, pasukan serbuan turut menahan dua lelaki tempatan berusia 60 dan 45 tahun disyaki bekerja sebagai penjaga premis dan penjaga wanita terbabit.
Khairrul Aminus berkata, pihaknya merampas kamera litar tertutup (CCTV) dan pelbagai barangan lain yang disyaki digunakan untuk aktiviti pelacuran.
"Modus operandi sindiket itu adalah menyediakan perkhidmatan pelacuran kepada pelanggan terdiri daripada warga asing di sekitar kawasan terbabit," ujarnya.
Tegasnya, kesemua warga asing yang ditahan dibawa ke Depot Imigresen Semenyih dan disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
Katanya, tindakan tegas akan diambil ke atas mana-mana pihak yang melakukan kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966, Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 dan Akta Anti Pemerdangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM).
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!