Lelaki ditahan, mercun bernilai RM13,000 dirampas
PETALING JAYA - Polis menahan seorang lelaki warga tempatan dan merampas mercun tanpa permit yang sah bernilai kira-kira RM13,000 dalam serbuan di sebuah kediaman di Saujana Damansara di sini pada Selasa.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shahrulnizam Ja’afar berkata, pihaknya menahan lelaki berusia 42 tahun itu dalam serbuan pada jam 4.30 petang.
"Kita telah merampas 22 kotak yang di dalamnya berisi 40 unit mercun jenis 'happy boom red cracker'.
"Lelaki itu mengaku membekalkan mercun tersebut, kita sedang siasat mercun itu dipasarkan kepada siapa," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Shahrulnizam berkata, pihaknya telah membuka satu kertas siasatan mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957.
"Orang ramai boleh menyalurkan sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang ke bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya ditalian 03-79662222 atau pegawai penyiasat kes, Inspektor Muhamad Shahiren Ibrahim di talian 019-5693864," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!