'Sukarnya mencari sahabat sejati' - Najib
SHAH ALAM - Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menyatakan kesukaran dalam mencari sahabat sejati terutama mereka yang sanggup hadir di sisi ketika mendepani waktu kesusahan.
Hantaran di Facebooknya turut mendakwa ramai hanya tunjuk muka sewaktu mencari kesenangan dan ada juga bermuka-muka.
“Tetapi hidup ini memang penuh pengajaran. Di kala kepahitan hari ini, ada setitik kemanisannya dan penghargaan,” katanya pada Rabu.
Najib pada Rabu diperintah bela diri oleh Mahkamah Tinggi atas pendakwaan empat kes menggunakan kedudukan untuk suapan hampir RM2.3 bilion dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram babit wang sama.
Hakim, Datuk Collin Lawrence Sequerah memutuskan demikian selepas mendapati pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie di akhir pendakwaan.
Bekas Presiden UMNO itu berterima kasih kepada semua pihak yang sanggup hadir bagi menunggu perkembangan keputusan berhubung kes tersebut.
“Dilihat begitu ramai dari kalangan penyokong dan rakyat biasa yang mengenang jasa dan merindui dasar pentadbiran dahulu.
“Ikhlas. Inilah yang benar-benar sahabat sejati. Semoga persahabatan di dunia ini kekal, dibawa dan menjadi modal di akhirat,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!