Kartel baja: Lakukan pembaharuan, segera wujudkan model baharu

PeSAWAH cadang agar diwujudkan segera model baharu dalam pengagihan dan pembekalan baja. Gambar kecil: Abdul Rashid
PeSAWAH cadang agar diwujudkan segera model baharu dalam pengagihan dan pembekalan baja. Gambar kecil: Abdul Rashid
A
A
A

ALOR SETAR - Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSAWAH) menggesa agar pembaharuan dalam institusi peladang dilakukan segera menerusi reformasi pelbagai peringkat termasuk di Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) dan rangkaian pertubuhan peladang.

Pengerusi PeSAWAH, Abdul Rashid Yob berkata, pendaftar pertubuhan peladang iaitu Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) perlu mengambil tindakan segera bagi membolehkan peranan semua rangkaian terlibat dalam industri tersebut dapat dinilai semula.

Beliau turut mencadangkan agar diwujudkan segera model baharu dalam pengagihan dan pembekalan baja bagi memberikan keadilan kepada pesawah memandangkan lebih 95 peratus keuntungan Nafas adalah daripada segmen baja padi.

“Kita harap tidak ada pesawah yang tidak mendapat manfaat selain baja subsidi yang dibekalkan.

"Maksudnya sekiranya Nafas untung, dividen dibayar kepada Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) yang berlaku sekarang, bukan kepada ahli-ahli peladang atau pesawah.

“Kita harap model baharu akan beri manfaat kepada ahli-ahli peladang yang menjadi tunjang utama. Malangnya, hari ini dividen atau keuntungan Nafas tidak sampai menyeluruh kepada ahli. Mungkin kepada PPN saja dan inilah yang perlu dinilai semula,” katanya.

Abdul Rashid berkata demikian ketika mengulas mengenai pendedahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkaitan kewujudan kartel dalam pengagihan dan perbekalan kontrak baja padi di sebuah pertubuhan di bawah kawalan sebuah kementerian dianggarkan bernilai RM1.8 bilion.

SPRM memulakan siasatan selepas beberapa siri pembongkaran dalam tempoh dua hari lalu di sekitar Kuala Lumpur termasuk di ibu pejabat pertubuhan, kementerian dan sembilan syarikat yang mendapat projek berkaitan.

Artikel Berkaitan:

Projek tersebut telah dianugerahkan kepada pertubuhan terbabit bagi tempoh 30 bulan bermula 2021 hingga 2023.

Menurutnya lagi, semua Anggota Jemaah Pengarah (AJP) Nafas perlu digantung tugas bagi membolehkan siasatan dilakukan tanpa konflik kepentingan.

“Ia bagi memberikan ruang seluas-luasnya kepada SPRM menyiasat secara menyeluruh kerana melibatkan salah laku besar dalam industri padi negara.

“Tumpuan perlu diberikan terhadap pembabitan sembilan syarikat yang dikaitkan dengan pembekalan bahan mentah dari luar negara sebelum proses penyediaan baja terbabit.

“Memandangkan pengurusan melibatkan AJP yang dilantik ketika berlakunya urusan import baja berkenaan, perlu adakan siasatan menyeluruh,” katanya.

Abdul Rashid berkata, tata kelola yang tidak betul perlu diperkemaskan semula melalui pembaharuan institusi peladang supaya ia menjadi keutamaan kepada orang Melayu dan untuk kepentingan ahli-ahli peladang yang sebahagian besarnya adalah tunjang kepada keterjaminan makanan negara.

“Berdasarkan audit forensik dan audit khas pengurusan LPP 2018/2019, banyak salah laku di situ. Mungkin rakyat atau ahli-ahli tak tahu secara holistik apa yang melibatkan tingkah laku tidak betul ini.

“Jika tidak dijaga dengan baik, dipandu pula oleh orang-orang yang ada kepentingan tersendiri maka akan lingkuplah institusi peladang yang menjadi kekuatan kepada ahli-ahli peladang,” ujarnya.

Abdul Rashid turut meminta pertimbangan kerajaan agar tidak membuka tender berkaitan kerana ia memberikan impak besar kepada petani.

“Pada Belanjawan baru-baru ini disarankan untuk buka tender seperti projek baja rintis.

"Apabila syarikat yang memperoleh tender tidak menjalankan kerja-kerja sepatutnya, seperti di Sungai Leman, Selangor maka kerja-kerja melibatkan aktiviti penaburan baja tidak berlaku dengan baik seterusnya menjejaskan hasil.

“Yang akan dapat manfaat atau keuntungan adalah syarikat-syarikat yang kita tak tahu kepentingannya. Pastinya tidak akan memihak kepada peladang dan menjurus kepada syarikat sahaja,” jelasnya.

Dalam pada itu, katanya, siasatan dilakukan SPRM sepatutnya sudah lama dilakukan dalam industri padi dan beras kerana keuntungan besar tanaman padi ialah pembekalan baja.

“Kita harapkan siasatan ini akan membuka ruang baharu supaya institusi peladang dapat dikembalikan ke tahap kecemerlangan selain menjaga kepentingan ahli-ahli peladang.

“Kami menyokong usaha memartabatkan integriti di institusi yang sepatutnya menjadi payung kepada ahli peladang termasuk pesawah,” ujarnya.

Pada masa sama, Abdul Rashid berharap orang ramai tidak melabelkan Nafas sebagai kartel kerana asas pertubuhan itu dibentuk daripada kepentingan ahli-ahli peladang.

“Pertubuhan peladang mempunyai satu juta ahli. Ia memberi manfaat bukan kepada individu tetapi atas kepentingan ramai.

“Nafas bukan kartel seperti yang digambarkan, persepsi ini perlu diubah kerana Nafas dibentuk untuk menjaga hak dan kepentingan ramai,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!