Remaja perempuan maut angkara kereta buat pusingan 'U' mengejut
REMBAU - Seorang remaja perempuan maut selepas terlibat kemalangan dengan sebuah kereta di kilometer 32.1 Jalan Seremban-Tampin dekat Pekan Chengkau di sini pada Rabu.
Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintenden Shaik Abd Kadar Shaik Mohamed berkata, mangsa Nurul Khaiira Mohd Zamri, 17 disahkan maut di lokasi akibat parah di kepala dan badan.
Katanya, kejadian pada jam 8.10 malam itu membabitkan sebuah motosikal jenis Yamaha 135 LC ditunggang mangsa dan kereta jenis Proton Persona 1.6 dipandu lelaki berusia 27 tahun.
"Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku semasa mangsa dalam perjalanan dari rumahnya di Seremban Jaya menghala ke Tampin.
"Apabila sampai di tempat kejadian, motosikal yang ditunggangnya telah melanggar sisi kanan kereta berkenaan yang tiba-tiba membuat pusingan ‘U’ di hadapan iaitu dari bahu jalan sebelah kiri arah yang sama dan mahu berpatah balik ke arah Pekan Rembau," katanya.
Ujarnya, akibat kemalangan itu, mangsa mengalami kecederaan parah di kepala serta anggota badan dan disahkan maut oleh pegawai perubatan yang tiba di lokasi kejadian.
"Pemandu kereta pula tidak mengalami sebarang kecederaan. Mayat mangsa telah dibawa ke forensik Hospital Rembau bagi tujuan bedah siasat.
"Siasatan kes masih diteruskan dan orang ramai atau saksi kejadian diminta menyalurkan maklumat kepada pihak polis bagi membantu siasatan.
"Kes seterusnya disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!