Lapan pendaki Terengganu tawan Kem Pangkalan Everest
KUALA TERENGGANU - Seramai lapan pendaki dari Terengganu membawa cabaran pendakian selama 15 hari ke Kem Pangkalan Everest di Kathmandu, Nepal.
Pendakian ke puncak setinggi 5,364 meter itu berjaya disempurnakan oleh kumpulan tersebut sekitar jam 5 petang pada Selasa.
Ketua Ekspedisi, Abdul Karim Endut, 54 berkata, dia begitu teruja kerana berjaya menamatkan pendakian bersama pendaki lain dengan jarak perjalanan pergi dan balik sejauh 130 kilometer (km).
"Pendakian hari kesembilan pada Selasa bermula dari Perkampungan Lobuche yang berada para paras 4,910 meter sekitar jam 7.30 pagi dan pasukan kami selamat tiba di Kem Pangkalan Everest jam 3 petang waktu tempatan di sini.
"Sepanjang pendakian, keadaan cuaca sangat sejuk dengan suhu serendah antara negatif lapan hingga 16 darjah Celsius.
"Selain itu, kami terpaksa melalui laluan yang berbatu serta keadaan cuaca berangin antara cabaran buat kami semua untuk menamatkan kembara ini," katanya yang pertama kali menyertai ekspedisi tersebut.
Menurut Abdul Karim, perjalanan turun dari pangkalan menuju ke Perkampungan Lukla dan ke Kathmandu mengambil masa selama tiga hari.
"Para pendaki akan menempuh perjalanan sejauh 60km pada 2 November depan untuk menuju ke lokasi itu sebelum berlepas pulang.
"Pasukan pendaki ini dijangka tiba di Malaysia pada 5 November," katanya ketika dihubungi Sinar Harian, di sini pada Khamis.
Program kembara oleh Kelab Sukan Dan Kebajikan Kakitangan SATU Terengganu (KSKK) dengan Kerjasama Kelab Terengganu BackPackers itu turut disertai pendaki Terengganu pertama ke puncak Gunung Everest pada 2007, Muhamad Rafi Kori, 45.
Selain Muhamad Rafi dan Abdul Karim, pendakian itu turut disertai Mohamad Salam Muda, 38; Mohd Yusri Gati@Mohd Gati, 37; Mohd Juhairi Mohd, 39; Mohd Izwan Awang, 37; Mohd Ghazali Kori, 37 dan Hairry Helmy @ Khairy Mustafa, 48.
Bagaimanapun, difahamkan salah seorang pendaki tidak berjaya sampai sehingga ke puncak atas faktor kesihatan yang tidak mengizinkan.
Sementara itu, Muhamad Rafi berkata, walaupun telah berpengalaman sebanyak lima kali tiba ke kem tersebut, suhu serendah negatif lapan hingga 16 darjah Celsius antara cabaran yang perlu dilalui sepanjang ekspedisi itu.
"Saya bersyukur kerana pengalaman kali kelima menuju ke pangkalan ini berjaya direalisasikan.
"Lebih manis, kali ini kami turut berpakaian tradisional iaitu memakai kain batik Terengganu dan kain pelilit kepala atau semutar sebaik berjaya 'menawan' Everest Base Camp (EBC) di sini," katanya.
Dalam pada itu, katanya, dia turut berkongsi pengalaman serta tips pendakian, penjagaan kesihatan, latihan dan kecerdasan kepada rakan sepasukan terutama mereka yang pertama kali menyertai cabaran tersebut.
"Kami mengambil masa selama sembilan hari mengharungi cabaran trek dengan pelbagai bentuk muka bumi, oksigen yang rendah dengan keadaan yang sejuk dimana ia memang memerlukan persediaan sepenuhnya dari segi mental dan fizikal.
"Walaupun ada dalam kalangan pendaki mengalami simptom utama Akut Gunung atau Altitude Mountain Sickness (AMS), tetapi dengan ilmu dan pelbagai rawatan kesihatan, kami semua berjaya menamatkan pendakian," ujarnya.
Katanya lagi, sepanjang tempoh pendakian, kesemua pendaki merasai pengalaman baharu iaitu bertemu pendaki lain dari seluruh dunia dan dalam masa yang sama dapat mempromosikan Malaysia dan Terengganu secara amnya di mata dunia.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!