Hampir seminggu Erma Fatima hilang

Erma Fatima dilaporkan hilang selepas memberitahu mahu ke tandas di sebuah kedai makan di Batu Buruk, Kuala Terengganu.
Erma Fatima dilaporkan hilang selepas memberitahu mahu ke tandas di sebuah kedai makan di Batu Buruk, Kuala Terengganu.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Seorang remaja berusia 17 tahun dilaporkan hilang selepas memberitahu mahu ke tandas di sebuah kedai makan di Batu Buruk, di sini.

Ibunya, Roslina Mat Yousop, 40 berkata, kali terakhir dia bertemu anaknya, Erma Fatima Shamsul Bahari ketika mereka sekeluarga makan di restoran tersebut sekitar jam 9 pagi pada 25 Oktober lalu.

Menurutnya, ketika itu Erma Fatima yang merupakan sulung dari empat beradik memakai baju, tudung dan seluar berwarna hitam.

"Waktu tengah makan tu dia beritahu mahu ke tandas, saya ingat dia pergi tandas sekejap sahaja, tunggu punya tunggu dia tak juga datang.

"Pada awalnya kami berusaha juga mencari di sekitar kawasan restoran tetapi tak jumpa dan tak nampak pun kelibat dia," katanya ketika dihubungi Sinar Harian, di sini, pada Khamis.

Roslina berkata, dia dan suami, Shamsul Bahari Abu Bakar, 46 telah mencuba pelbagai cara untuk mencari Erma Fatima termasuk membuat laporan polis.

"Kami buat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu pada 26 Oktober lalu tapi belum ada apa-apa perkembangan lagi.

Artikel Berkaitan:

"Saya sangat bimbang sebab hari ini (Khamis) sudah enam hari dia hilang dan sampai sekarang masih belum ditemui," ujarnya yang berasal dari Kampung Ru Dua, Marang.

Roslina memberitahu, anaknya yang bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Besar, di sini merupakan calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun ini.

"Saya sudah maklumkan mengenai kehilangan Erma Fatima kepada pihak sekolah.

"Saya juga ada bertanya kepada kawan-kawan mengenai keberadaan dia namun semuanya tidak tahu dia ada di mana.

"Kalau ikutkan dia tidak biasa keluar dengan kawan-kawan, pergi kemana-mana pun dengan keluarga. Dia juga tiada telefon bimbit," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kehilangan remaja terbabit.

Katanya, siasatan terhadap kes tersebut giat dijalankan, namun setakat ini belum ada perkembangan mengenai gadis itu.

Mana-mana individu yang mempunyai maklumat berkenaan remaja ini diminta menyalurkan ke balai polis berdekatan atau menghubungi keluarga Erma Fatima di talian 014-9035176 (Roslina).

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!