Imigresen akan ambil tindakan isu lambakan warga asing di Pandan Mewah
SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) akan mengambil tindakan mengesan, menangkap dan mengusir pendatang asing tanpa izin (PATI) yang melanggar peraturan, kata Pengarah Imigresen Selangor, Khairrul Aminus Kamaruddin.
Katanya, JIM Selangor memandang serius perkara ini dan mengalukan kerjasama masyarakat salurkan maklumat.
"Sekiranya mempunyai maklumat berkaitan keberadaan pendatang asing tanpa izin (PATI) di lokaliti masing-masing, salurkan aduan melalui saluran sedia ada.
"Tindakan mengesan, menangkap, mendakwa, menyenarai hitam dan usir akan diambil kepada mana-mana warga asing atau PATI yang melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 dan Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.
Beliau berkata demikian bagi mengulas laporan khas Sinar Harian Isnin lalu bertajuk 'Bimbang warga asing bermaharajalela' di Pandan Mewah, Ampang.
Tambahnya, JIM Selangor turut mengingatkan orang ramai dan majikan supaya tidak melindungi PATI atau terpaksa berhadapan dengan tindakan undang-undang.
"Sebarang maklumat aduan berkaitan keberadaan PATI di lokaliti masing-masing dalam Negeri Selangor boleh diemelkan ke aduanbpsa_jimsel@imi.gov.my," ujarnya
Menerusi laporan khas itu, beberapa penduduk warga tempatan mendakwa rimas dan bimbang dengan lambakan warga asing di kawasan terbabit yang boleh mengundang pelbagai isu termasuk jenayah.
Malah ada antara mereka juga yang tidur dalam keadaan berbogel di premis perniagaan selepas mabuk.
Lebih membimbangkan, Hospital Ampang yang terletak berhampiran penempatan itu juga dijadikan sebagai transit wanita warga asing untuk melahirkan anak sehinggakan pihak hospital terpaksa menanggung jumlah kos yang tinggi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!