'Ulat' ditahan ketika pujuk pelanggan
SEPANG - Hasil intipan dan pemantauan rapi, stesen penguatkuasa Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) berjaya membuat satu tangkapan ke atas 'ulat' yang menawarkan perkhidmatan kereta sewa tidak berlesen.
Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor, Azrin Borhan berkata, tangkapan ulat itu dibuat ke atas seorang pemandu kenderaan jenis Honda B-RV yang ditahan ketika sedang berurusan mendapatkan pelanggan di Terminal 2, KLIA pada malam Selasa.
Beliau berkata, selain pemandu ditahan bagi siasatan lanjut kerana mengambil penumpang secara haram, kenderaan yang digunakan turut disita.
"Siasatan awal mendapati 'ulat' tersebut telah memujuk, merayu dan menawarkan perkhidmatan pengangkutan kepada dua orang penumpang warga China.
"Kedua-dua pelancong itu mahu ke Kluang, Johor dengan kadar tambang yang dikenakan sebanyak RM400.
"Siasatan mendapati pelancong akan membuat pembayaran sebaik sahaja tiba di destinasi dituju," katanya pada Khamis.
Kata beliau, mana-mana individu yang didapati bersalah melakukan perkhidmatan kereta sewa tidak berlesen boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 205(1) Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (APAD 2010).
Jelas beliau, jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjara selama lima tahun atau kedua-duanya sekali.
Tambahnya lagi, sesiapa yang bersubahat melakukan aktiviti 'ulat' juga boleh didakwa mengikut Seksyen 243(1), di bawah APAD 2010.
"Orang ramai dinasihatkan menggunakan perkhidmatan pengangkutan yang sah, sama ada melalui kaunter perkhidmatan yang disediakan di Terminal 1 dan 2 KLIA atau membuat tempahan melalui aplikasi e-hailing," ujarnya.
Untuk sebarang aduan trafik, orang awam boleh menyalurkan kepada aduantrafik@jpj.gov.my atau platform aplikasi e-aduan@JPJ beserta butiran pengadu dan butiran aduan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!