Tular rakyat Malaysia jadi tentera upahan di Ukraine, ahli keluarga enggan komen

Rumah dua tingkat dipercayai didiami ahli keluarga individu yang tular berjuang di Ukraine sebagai tentera upahan asing berdasarkan alamat tertera pada MyKad.
Rumah dua tingkat dipercayai didiami ahli keluarga individu yang tular berjuang di Ukraine sebagai tentera upahan asing berdasarkan alamat tertera pada MyKad.
A
A
A

KANGAR - Seorang lelaki yang dipercayai mempunyai hubungan kekeluargaan dengan individu yang dikenal pasti sebagai tentera upahan asing di Ukraine enggan mengulas mengenai kesahihan dakwaan tersebut.

Lelaki berusia 20-an itu tidak menafikan mahupun mengesahkan sama ada individu yang tular di media sosial yang didakwa berjuang di Ukraine merupakan ahli keluarganya.

Ketika ditemui di sebuah rumah dekat sini, lelaki berkenaan enggan memberi sebarang komen mengenai isu tular berkenaan dan sekadar mengatakan enggan mengulas.

"No comment, no comment (tak mahu ulas)," katanya ringkas.

Pemerhatian juga mendapati kediaman dua tingkat tersebut kelihatan sunyi tanpa kelibat ahli keluarga lain.

Sebelum ini, tular beberapa keping gambar yang menunjukkan dokumen pengenalan diri MyKad dan lesen memandu rakyat Malaysia ditemukan di medan pertempuran antara Ukraine dan Rusia.

Laporan itu mendakwa dokumen itu ditemui selepas kejayaan tentera Rusia menawan kubu tentera Ukraine di Levadne, Zaporizhia, Ukraine.

Lelaki yang tular itu dikatakan membabitkan diri sebagai tentera upahan dalam '16th Rifle Batallion Ukraine' yang mana ia sedang berdepan dengan tentera Rusia di Ukraine.

Artikel Berkaitan:

Dokumen berkenaan antaranya menunjukkan alamat berdaftar di Padang Besar, Perlis.

Turut tular ialah gambar pasport negara lain dipercayai milik individu yang turut berada di lokasi berkenaan.

Dalam pada itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain pada Selasa memaklumkan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang menyiasat kesahihan maklumat berhubung dakwaan penemuan kad pengenalan dan lesen memandu Malaysia dipercayai milik rakyat negara ini di Levadne, Zaporizhia, Ukraine.

Menurutnya, PDRM sedang menyemak kesahihan dakwaan itu dengan mendapatkan maklumat terperinci daripada Kementerian Luar Negeri.

Sementara Kementerian Luar Negeri dalam kenyataan memaklumkan, buat masa ini pihaknya tidak dapat mengesahkan kesahihan maklumat tersebut dan menyarankan rakyat Malaysia untuk mengambil langkah berjaga-jaga bagi memastikan keselamatan diri ketika berada di luar negara.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!