Johor peruntuk RM900,000 hantar ubat melalui pos

Tian Soon berkata sesuatu kepada orang ramai yang menggunakan khidmat pandu lalu bagi mengambil ubat.
Tian Soon berkata sesuatu kepada orang ramai yang menggunakan khidmat pandu lalu bagi mengambil ubat.
A
A
A

JOHOR BAHRU – Kerajaan Johor memperuntukan sejumlah RM900,000 pada 2024 bagi melaksanakan program penghantaran ubat percuma melalui pos.

Menurut Exco Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, Ling Tian Soon, pelaksanaan program tersebut secara keseluruhannya bertujuan untuk memudahkan pesakit mendapat ubat yang diperlukan selain membantu mengurangkan kesesakan di klinik mahupun hospital.

“Kami memang menggalakkan orang ramai untuk menggunakan kaedah pengambilan ubat ini. Selain mengurangkan kesesakan, ia juga dapat menjimatkan masa.

"Sebagai contoh, Hospital Sultanah Aminah (HSA), sekarang mempunyai bilangan pesakit paling tinggi.

“Bagi program ini, kita difahamkan pihak HSA perlu menghantar antara 4,100 hingga 4,300 pesanan ubat bagi setiap bulan," katanya dalam satu kenyataan di Facebooknya pada Khamis.

Beliau berkata, Klinik Pakar HSA menerima kira-kira 2,000 pesakit setiap hari yang datang untuk berjumpa doktor atau mengambil ubat.

“Selalunya, pesakit perlu menunggu antara dua hingga empat jam untuk menyelesaikan proses tersebut.

"Oleh itu, hospital sedang mencari cara untuk memperbaiki situasi ini termasuk menggalakkan pesakit yang mengambil ubat secara berkala untuk menggunakan perkhidmatan penghantaran ubat melalui pos,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Tambah Tian Soon, Jabatan Farmasi HSA akan mencadangkan kepada pesakit yang layak, untuk membuat pendaftaran bagi mendapatkan perkhidmatan penghantaran ubat melalui pos.

"Setelah berjaya mendaftar, pesakit hanya perlu menunggu di rumah untuk menerima ubat mereka yang kini dibiayai oleh kerajaan negeri.

“Selain penghantaran pos, Jabatan Farmasi melaksanakan perkhidmatan ambil ubat secara pandu lalu yang sangat popular di mana lebih 240 pesakit menggunakan perkhidmatan ini setiap hari,” katanya.

“Selain itu, Jabatan Farmasi juga menyediakan perkhidmatan loker penyimpanan ubat yang diletakkan di pusat beli-belah di mana pesakit boleh mendaftar dengan Jabatan Farmasi dan kemudian mengambil ubat mereka dari loker yang telah ditetapkan tanpa perlu datang ke hospital atau klinik,” katanya.

Dalam perkembangan lain Tian Soon berkata, selain HSA, Hospital Sultan Ismail (HSI), dua lagi hospitaliaitu Hospital Enche Besar Hajjah Kalsom, Kluang dan Hospital Sultanah Nora Ismail, Batu Pahat kini secara rasmi menyediakan perkhidmatan sambungan internet percuma (WiFi) untuk orang ramai.

Katanya, pengunjung hanya perlu mengaktifkan pencarian rangkaian di telefon bimbit mereka dan mencari sambungan WiFi Maju Johor untuk menggunakannya.

“Inisiatif ini adalah salah satu usaha kerajaan negeri Johor dalam meningkatkan perkhidmatan hospital, supaya pengunjung dapat menggunakan internet percuma sementara menunggu giliran,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!