Gerai makanan dikendali warga asing, dibina atas laluan pejalan kaki diroboh

Tangkap layar video memaparkan pelaksanaan operasi meroboj gerai haram yang dimuatnaik di Facebook MBPP.
Tangkap layar video memaparkan pelaksanaan operasi meroboj gerai haram yang dimuatnaik di Facebook MBPP.
A
A
A

GEORGE TOWN - Sebuah gerai makanan yang dikendalikan warga asing di Farlim, Air Itam di sini diroboh oleh Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) pada minggu lalu.

MBPP dalam kenyataannya berkata, operasi tersebut dijalankan pada jam 9.50 pagi pada 23 Oktober lalu.

Menurutnya, gerai makanan tersebut didapati dibina di atas laluan pejalan kaki sehingga menghalang laluan berkenaan.

"MBPP melalui Jabatan Pelesenan, Jabatan Penguatkuasaan, Jabatan Perkhidmatan Perbandaran, Jabatan Kejuruteraan, Tenaga Nasional Berhad dan Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang serta jabatan dalaman MBPP lain telah melaksanakan operasi bersepadu meroboh struktur haram yang dibina di atas laluan awam di Farlim.

"Hasil daripada risikan dan pemantauan oleh Jabatan Pelesenan, gerai makanan tersebut dikendalikan oleh warganegara asing," katanya pada Rabu.

MBPP berkata, siasatan di lokasi juga mendapati, gerai makanan tersebut mengalirkan sisa makanan dan minyak ke dalam parit awam sehingga menyebabkan air bertakung dan longkang tersumbat.

"Perobohan dibuat apabila risikan dibuat selepas mendapat aduan daripada orang awam. Selepas diperiksa, gerai makanan tersebut tidak memiliki lesen dan dibina di atas laluan pejalan kaki.

"Selepas proses perobohan, Majlis telah membersihkan sisa binaan serta longkang yang tersumbat bagi membolehkan air mengalir dengan baik," katanya.

Artikel Berkaitan:

Tambah MBPP, pihaknya akan meneruskan tindakan dan pemantauan dari masa ke semasa di lokasi tumpuan yang telah dikenalpasti.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!