Deal of the Century: Israel hasilkan peta kawasan yang akan dirampas
TEL AVIV - Israel mendakwa sudah menghasilkan peta kawasan yang akan dirampas di Tebing Barat seperti dicadangkan melalui pelan damai berat sebelah, Deal of the Century yang diumumkan oleh sekutu kuatnya, Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump pada 28 Januari lalu.
“Kita sudah berada pada kemuncak proses pemetaan kawasan tersebut yang akan menjadi sebahagian daripada negara Israel seperti diumumkan Trump. Ia tidak akan mengambil masa lama,” kata Benjamin Netanyahu ketika kempen pilihan raya di Maale Adumim yang merupakan sebuah bandar di Tebing Barat semalam.
Menurut pemimpin Parti Likud itu, kawasan itu akan meliputi seluruh penempatan haram Yahudi dan Lembah Jordan yang merupakan wilayah berada di bawah pendudukan Israel sejak ia diceroboh ketika Perang Enam Hari 1967.
Sebelum ini, Netanyahu telah beberapa kali mengulangi janji beliau untuk merampas Tebing Barat ketika kempen pilihan raya walaupun dibantah keras oleh Palestin.
Netanyahu yang berdepan tuduhan rasuah berharap untuk memenangi penggal kelima berikutan Israel akan mengadakan pilihan raya umum ketiga dalam tempoh setahun pada 2 Mac depan.
Sehingga kini, kebanyakan negara melihat penempatan haram Israel sebagai melanggar undang-undang antarabangsa walaupun Trump telah mengubah dasar AS untuk mengiktiraf penempatan tersebut.
“Satu-satunya peta yang boleh diterima sebagai peta Palestin adalah peta berdasarkan garisan sempadan 1967 yang menetapkan Baitulmaqdis sebagai ibu negara Palestin,” kata jurucakap Presiden Palestin, Nabil Abu Rdainah.
Dalam perkembangan berkaitan, Kesatuan Parlimen Antara Arab (AIU) menegaskan, penolakan mereka terhadap pelan Deal of the Century tersebut mengikut jejak langkah Liga Arab dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) yang mengemukakan bantahan sebelum ini.
“Pelan tersebut mewakili satu bab baharu pelanggaran terhadap hak penduduk Palestin selepas penderitaan yang dihadapi mereka selama beberapa dekad,” menurut kenyataan akhir mereka yang turut menolak sebarang penyelesaian tidak adil dan sebelah pihak. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!