Yayasan KOSMA salur sumbangan RM1.5 juta bantu golongan sasar

Peserta dan jurulatih bergambar bersama Zamri (lima dari kanan,duduk) dan Mohd Sabri (duduk, empat dari kiri).
Peserta dan jurulatih bergambar bersama Zamri (lima dari kanan,duduk) dan Mohd Sabri (duduk, empat dari kiri).
A
A
A

ROMPIN - Nasib golongan memerlukan terus mendapat perhatian Yayasan Koperasi Serbausaha Makmur Berhad (KOSMA) apabila memperuntukkan sumbangan sebanyak RM1.5 juta sejak Januari hingga Oktober tahun ini.

Pengerusinya, Datuk Zamri Mohamed berkata, sumbangan itu terbahagi kepada beberapa kategori antaranya sektor pendidikan, bencana alam, kesihatan dan sara diri.

"Terbaharu Yayasan KOSMA telah memperuntukkan sebanyak RM30,000 untuk bantuan mangsa banjir di Perlis.

"Pada 26 Oktober lalu, kita telah melawat mangsa-mangsa ribut di daerah Maran dan telah memperuntukkan sebanyak RM21,993.30 untuk membantu membaiki rumah yang rosak akibat dilanda banjir pada 25 Oktober lalu," katanya semasa sidang akhbar sempena Program Keusahawanan dan Kemahiran di Kompleks Perladangan KOSMA di Keratong di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Timbalan Pengerusi KOSMA, Datuk Mohd Sabri Abdullah dan Pengerusi Mahabbah Malaysia,Dr Azah Muyassarah Arsad yang bertindak sebagai koordinator program tersebut.

Mengulas program tersebut, Zamri memberitahu, sebanyak RM300,000 diperuntukkan untuk membimbing dan melatih 30 peserta terdiri B40 dalam dunia keusahawanan dan kemahiran.

Ujarnya, program empat hari itu julung kalinya diadakan membabitkan pelbagai modul antaranya pengurusan kewangan; pemasaran dan motivasi untuk peserta terpilih.

"Selepas tamat latihan kita akan memantau mereka selama enam bulan supaya berada di landasan yang betul selain memberikan bantuan peralatan bernilai RM5,000 seorang," tambahnya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Azah memberitahu, Mahabbah menyambut baik usaha murni tersebut sebagai rakan strategik bersama yayasan terbabit.

Bagi peserta terbaik lelaki, Jamidan Abdul Hamid,49 dari Temerloh bersyukur dan teruja kerana terpilih menyertai program terbabit.

Mengusahakan kedai makan di Kampung Guai, pengurusan kewangan yang dipelajari sangat membantu dirinya selepas ini.

"Saya sudah lama berniaga tapi dari segi pengurusan kewangan kosong dan dengan bantuan jurulatih-jurulatih berpengalaman di sini sangat membantu," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!