Kelantan sokong produk motosikal EV, sahut teknologi hijau
KOTA BHARU - Kerajaan Kelantan menyokong penggunaan produk motosikal berkuasa elektrik (EV) sebagai promosi teknologi hijau.
Timbalan Exco Pembangunan Wilayah, Sumber Asli, Integriti, Pembangunan Insan dan Undang-undang, Wan Rohimi Wan Daud berkata, langkah itu merupakan antara komitmen kerajaan menyahut agenda pembangunan mampan dan kelestarian alam dengan mempromosi penggunaan tersebut.
"Kerajaan negeri menyokong penuh kepada usaha penggunaan teknologi hijau," katanya pada Majlis Pelancaran Projek Motosikal EV di Kompleks Kota Darulnaim di sini.
Hadir sama Exco Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi, Datuk Tuan Mohd Saripuddin Tuan Ismail dan Timbalan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi, Kamaruzaman Mohamad serta Pengurus Besar (KUMH), Dr Roshdi Hassan.
KUMH yang merupakan anak syarikat Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) dengan kerjasama Standard Energy Asia Sdn Bhd (SEASB) sebagai pembekal.
Sementara itu, Pengarah Eksekutif Standard SEASB, Dr Ahmad Zaharuddin Sani Ahmad Sabri berkata, kerjasama meliputi tawaran perkhidmatan berkaitan untuk kegunaan Kerajaan Kelantan, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC), menawarkan program sewaan kepada pelancong dan memperkenalkan program sewa beli atau rent to own (RTO) khusus untuk rakyat Kelantan.
“Kita melaksanakan program dipanggil RTO, rent to own, maknanya kita akan sewa beli melalui syarikat Standard Energy Asia khusus untuk warga Kelantan.
“Maksudnya di sini, kita tidak lagi menggunakan bank, serta kaedah riba. Kita tawarkan bayaran bulanan khusus kepada rakyat Kelantan selama tiga tahun. Selepas tiga tahun, ia akan menjadi milik penuh pembeli," katanya.
Menurut beliau, untuk permulaan SEASB menyediakan sebanyak 20 unit motosikal EV dengan tawaran harga istimewa dan rebat khas lima peratus kepada kakitangan kerajaan negeri.
Ujarnya, SEASB mensasarkan jualan sekitar 100 hingga 150 unit bagi tahun pertama dan turut merancang perkhidmatan sewaan kepada pelajar dengan harga yang munasabah.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!