Dua peniaga, kontraktor rugi lebih RM300,000 terpedaya tawaran tender palsu

Mangsa diperdaya oleh suspek melalui panggilan telefon dengan penawaran tender atau projek kerajaan tidak wujud. Foto hiasan
Mangsa diperdaya oleh suspek melalui panggilan telefon dengan penawaran tender atau projek kerajaan tidak wujud. Foto hiasan
A
A
A

KUANTAN - Dua peniaga dan seorang kontraktor kerugian RM304,250 selepas terpedaya dengan tawaran tender palsu.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, ketiga-tiga mangsa diperdaya oleh suspek melalui panggilan telefon dengan penawaran tender atau projek kerajaan tidak wujud.

Menurutnya, Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Kontinjen Pahang telah menerima tiga laporan polis dari daerah Kuantan mengenai kes terbabit.

"Kes pertama melibatkan mangsa seorang lelaki berusia 29 tahun yang merupakan peniaga tayar telah menerima panggilan daripada seorang wanita yang menyamar sebagai Pengurus Tender di Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.

"Suspek menawarkan tender pembekalan tayar dan power station bagi Balai Bomba Daerah Mentakab.

"Mangsa yang terpedaya telah membuat lima transaksi ke satu akaun syarikat berjumlah RM169,500 sebelum menyedari bahawa tiada tender seumpamanya wujud selepas membuat semakan di Ibu Pejabat JBPM Pahang," katanya pada Khamis.

Tambah beliau, kes kedua pula melibatkan mangsa seorang lelaki berusia 29 juga peniaga tayar.

"Mangsa menerima panggilan mendakwa dari Pegawai Bomba Daerah Mentakab yang menawarkan projek pembekalan alat ganti dan aksesori kenderaan bernilai RM150,000.

Artikel Berkaitan:

"Mangsa membuat pembayaran sebanyak RM84,750 ke tiga akaun berbeza yang disyorkan oleh suspek, namun kemudian mendapati bahawa tawaran tersebut adalah palsu selepas membuat semakan dengan pihak bomba," katanya.

Yahaya berkata, kes ketiga pula membabitkan mangsa seorang lelaki berusia 55 tahun yang merupakan seorang kontraktor bangunan telah menerima panggilan daripada seorang individu mendakwa sebagai pegawai dari Majlis Perbandaran Bentong (MPB).

"Suspek menawarkan projek pembekalan ecoflow power station bernilai RM94,000.

"Mangsa telah membuat pembayaran RM50,000 ke satu akaun, sebelum menyedari bahawa tawaran tersebut tidak sah selepas semakan dibuat dengan MPB," katanya.

Dalam pada itu, Yahaya berkata, pihaknya turut menerima satu laporan polis melibatkan 'love scam' yang menyebabkan kerugian berjumlah RM260,997.

Jelasnya, mangsa iaitu seorang wanita berumur 32 tahun telah berkenalan dengan seorang lelaki luar negara yang mendakwa sebagai ahli perniagaan.

"Suspek telah meminta modal perniagaan kononnya untuk menampung perniagaannya yang sedang mengalami masalah kewangan.

"Mangsa terpedaya dan telah membuat 14 kali transaksi kepada empat akaun berbeza bermula 14 hingga 27 Oktober.

"Selepas wang dipindahkan suspek telah mendiamkan diri dan mangsa akhirnya menyedari telah ditipu," katanya.

Tambah Yahaya, orang ramai dinasihati agar berwaspada dan menyemak kesahihan tawaran projek atau tender yang diterima melalui panggilan telefon terutamanya yang melibatkan pembayaran awal.

Jelasnya, masyarakat juga diingatkan supaya membuat semakan nombor akaun dan nombor telefon yang diterima di pautan https://semakmute.mp.gov.my/ terlebih dahulu sebelum membuat sebarang transaksi.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!