'Ramai terbunuh di depan saya'

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

BANGKOK - “Saya dengar bunyi tembakan bertalu-talu. Saya lihat ramai terbunuh di depan saya,” kata Banpot Plerdjantuek.

Banpot adalah seorang daripada pengunjung yang menyaksikan kejadian amukan dan tembakan di pusat membeli-belah Terminal 21 di Nakhon Ratchasima, (juga dikenali sebagai Korat) di timur laut Thailand semalam.

Dia bagaimanapun diselamatkan pasukan keselamatan.

Ketika kejadian, Banpot dan isterinya berada di pusat membeli-belah berkenaan untuk membeli telefon bimbit baharu sebelum tiba-tiba seorang anggota tentera menerjah masuk ke pusat itu.

“Kami diselamatkan dari tingkat tiga pusat membeli-belah pada kira-kira pukul 9.40 malam (waktu tempatan) semalam. Saya berterima kasih kepada pasukan keselamatan yang datang menyelamatkan kami dan membolehkan kami keluar dari pusat membeli-belah itu dengan selamat,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Seorang lagi pengunjung yang terselamat, wanita warganegara Taiwan, yang hanya mahu dikenali sebagai Huang, 24, berkata, semalam adalah hari membeli-belah biasa untuknya yang ketika itu berada di tingkat enam pasar raya.

“Rakan saya mendengar bunyi tembakan kemudian kami melihat seorang pemandu teksi terbaring di atas lantai di tingkat satu. Tiba-tiba pengunjung di pusat membeli-belah menjerit dan lari bertempiaran.

“Pengawal keselamatan datang ke arah kami dan mengumpulkan semua orang di pintu kecemasan tingkat enam. Kami menunggu seketika sebelum diminta untuk keluar melalui pintu kecemasan itu,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Polis dan tentera melancarkan beberapa operasi menyelamat semasa kejadian penahanan tebusan di pusat membeli belah itu.

Video yang disiarkan di internet menunjukkan beratus-ratus pengunjung pusat membeli-belah berpusu-pusu lari menyelamatkan nyawa.

Dalam kejadian itu, anggota tentera Thailand yang dikenali sebagai Jakrapanth Thomma, 32, mengamuk dan melepaskan tembakan rambang menyebabkan 26 orang terbunuh dan 57 lagi cedera di pusat membeli-belah Terminal 21.

Pasukan keselamatan menembak mati anggota tentera itu pada 9 pagi tadi, waktu tempatan.

Agensi berita antarabangsa, Reuters dan Al Jazeera yang memetik sumber pasukan keselamatan melaporkan bahawa lapan tebusan berjaya diselamatkan apabila anggota tentera itu ditembak mati.

Kejadian amukan dan tembakan itu dipercayai berlaku kira-kira jam 3 petang waktu tempatan semalam apabila anggota tentera itu menyerang dan membunuh pegawai pemerintahnya dan dua lagi di Kem Tentera Surathampithak serta mengambil selaras senjata api jenis Heckler & Koch HK33 dan peluru dari artileri sebelum melarikan diri dengan sebuah kenderaan Humvee.

Media Thailand dipetik berkata, suspek adalah penembak tepat dan peminat senjata api dan motif di sebalik serangan itu dipercayai akibat dendam berkaitan satu perjanjian tanah dan suspek percaya bahawa dia telah ditipu.

Kejadian tembakan itu adalah yang kedua di negara gajah putih itu tahun ini.

Pada 9 Januari lepas, seorang lelaki bersenjata dan bertopeng menembak mati tiga individu termasuk seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun semasa merompak sebuah kedai emas di sebuah pusat membeli-belah di Wilayah Lop Buri.

Suspek yang ditahan adalah seorang guru besar di sebuah sekolah menengah berkata 'masalah kewangan' mendorongnya berbuat demikian. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!