Yakin ketika berdoa, usah sesekali tinggalkannya
USAI mendirikan solat, sebaiknya kita panjatkan doa dengan penuh keyakinan kepada ALLAH SWT dan jangan sesekali meninggalkannya.
Usah pernah berasa jemu dan lelah untuk berbuat demikian kerana DIA begitu mencintai hamba-hamba-NYA yang berdoa serta akan memperkenankan doa mereka yang bersungguh-sungguh meminta kepada-NYA.
Pendakwah, Datuk Dr Norhafizah Musa menjelaskan, doa sebenarnya adalah rezeki ALLAH SWT kepada kita.
“Tiada siapa yang tahu apa akan terjadi pada diri atau anak-anak kita pada masa akan datang atau dalam tempoh lima tahun lagi.
“Kita juga tidak tahu apa yang ALLAH SWT akan beri kepada kita, tetapi sebelum kita mendapatnya, DIA telah merezekikan kepada kita tanda-tanda itu iaitu doa,” katanya sebagaimana dipetik menerusi video bertajuk ‘Doa kita adalah rezeki kita’ yang dikongsikan di laman sosial Facebook miliknya.
Disebabkan itu, penceramah terkemuka tersebut mengingatkan agar kita berhati-hati ketika berdoa kerana ia adalah ‘tanda-tanda’ kepada masa hadapan masing-masing.
“Perhatikanlah doa, akhlak dan sikap kita. Rajin ke tidak kita berdoa kepada-NYA?
“Bila kita berdoa kepada-NYA, saya percaya ALLAH hendak beri (makbulkan). Sebab itu DIA memberi kurniaan yang dinamakan doa.
“Ingatlah, doa kita adalah rezeki ALLAH untuk kita. Tidak semua orang boleh berdoa, bukan semuanya rajin berbuat demikian, malah tidak semua (orang) ada idea untuk berdoa yang hebat-hebat dan meminta daripada ALLAH SWT,” ungkapnya.
Sementara itu, pendakwah bebas, Ahmad Izzhar Ahmad Nazri atau lebih dikenali sebagai Da’i Izzhar mengingatkan agar kita berdoa kepada ALLAH SWT dengan penuh keyakinan.
Walaupun mungkin diri seseorang terpalit dengan dosa dan noda, beliau mengingatkan agar kita tetap meminta kepada-NYA dengan bersungguh-sungguh.
“Bayangkan iblis yang baru lepas dilaknat, dihalau dari syurga dan berbuat salah, boleh meminta-minta lagi dengan ALLAH.
“Sebab apa? Kerana dia kenal dengan Rabbnya yang tidak akan pernah mensia-siakan walau satu permintaan hamba-hamba-NYA sekalipun berlumuran dengan dosa dan kotor dengan kesilapan,” katanya dipetik menerusi video bertajuk ‘Tidak yakin dengan doa’ yang disiarkan di laman sosial Instagram miliknya.
Ia sebagaimana disebutkan oleh Abu Hurairah yang meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Berdoalah kepada ALLAH dalam keadaan kamu yakin doa itu akan dimustajabkan. Ketahuilah, ALLAH tidak akan memustajabkan doa daripada hati yang lalai lagi alpa.” (Hadis Riwayat At-Tirmizi)
Menurut Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, berdoa dengan penuh harap dan yakin merupakan antara adab berdoa.
Justeru, pejabat mufti itu mengingatkan agar kita memohon kepada ALLAH SWT dalam keadaan diri bersangka baik dengan-NYA agar permintaan itu dimustajabkan.
“Seseorang perlulah berdoa dalam keadaan penuh harap (agar dia dimustajabkan) dan juga perasaan takut (daripada doa tertolak),” katanya sebagaimana dipetik menerusi artikel Al-Kafi #1015: Bagaimana mendapatkan doa mustajab yang pernah disiarkan dalam laman web rasmi pejabat mufti berkenaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!