Pura-pura jadi pelanggan sebelum larikan iPhone XS Max

Tangkap layar CCTV menunjukkan suspek mengambil telefon bimbit dari dalam almari pameran di sebuah premis di Jalan Batu 2, Chukai di Kemaman.
Tangkap layar CCTV menunjukkan suspek mengambil telefon bimbit dari dalam almari pameran di sebuah premis di Jalan Batu 2, Chukai di Kemaman.
A
A
A

KEMAMAN - Taktik seorang lelaki berpura-pura menjadi pelanggan sebelum melarikan telefon pintar jenis iPhone XS Max di sebuah kedai dekat Jalan Batu 2, Chukai di sini, terbongkar apabila perbuatan itu dirakam kamera litar tertutup (CCTV).

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Hanyan Ramlan berkata, tindakan lelaki itu disedari pekerja premis tersebut selepas memeriksa rakaman CCTV itu kira-kira jam 8 malam pada Rabu.

Menurutnya, pekerja terbabit memeriksa rakaman tersebut selepas menyedari telefon pintar yang diletakkan dalam almari pameran di premis berkenaan hilang.

"Berdasarkan rakaman CCTV itu, suspek yang berusia lingkungan 30-an dilihat masuk ke kedai berkenaan kira-kira jam 2 petang untuk memasang 'tinted' telefon bimbitnya.

"Sewaktu pekerja kedai sedang sibuk mencari alat ganti telefon itu, lelaki berkenaan dilihat mengambil telefon bimbit dalam almari pameran itu," katanya kepada pemberita di sini pada Khamis.

Dalam pada itu, Hanyan berkata, pekerja tersebut telah tampil membuat laporan polis kira-kira jam 12.30 tengah malam pada Rabu.

"Pihak polis telah membuka siasatan berhubung kes ini dan kini sedang giat mengesan lelaki tersebut.

"Kes ini disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri dalam bangunan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini, perbuatan lelaki itu turut mendapat perhatian serta pelbagai komen netizen selepas ia ditularkan di media sosial Facebook.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!