Tiga rakan cemas tersesat ketika daki Bukit Kodiang
JITRA - Tiga rakan yang berhasrat mengisi masa cuti umum sempena sambutan Deepavali berdepan saat cemas apabila mereka sesat ketika mendaki Bukit Kodiang.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jitra, Penolong Kanan Penguasa Bomba Mohd Bustan Karudin berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 12.46 tengah hari Khamis.
Menurutnya, sepasukan anggota dari BBP Jitra yang diketuai Pegawai Bomba Kanan (PBK) II Mohd Fauzi Md Jusoh tiba di lokasi bersama 10 anggota dalam misi menyelamatkan mangsa terdiri daripada tiga wanita berusia lingkungan 20-an.
"Operasi turut disertai dua anggota polis, anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dan dua malim gunung.
"Seramai lima anggota bomba bersama polis dan RELA segera mendaki bukit tersebut dalam kerja-kerja awal menyelamat,” katanya.
Mohd Bustan berkata, tiga wanita yang dipercayai tersesat ketika beriadah itu ditemui oleh malim gunung dan seorang daripada mereka mengalami kecederaan di bahagian kaki.
"Kerja-kerja menyelamat dilakukan di lokasi bagi membawa turun kesemua mangsa ke kaki bukit," katanya lagi.
Beliau memaklumkan, kesemua mangsa berjaya dibawa turun pada jam 1.45 tengah hari dan operasi tamat sepenuhnya sekitar 2.50 petang.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!