Elak solat bagai melepaskan batuk di tangga

Carilah kesempurnaan tunaikan Rukun Islam kedua itu, usah berhenti belajar betulkan sembahyang

PENTING untuk kita belajar dan sentiasa memperbetulkan solat menuju kepada kesempurnaan dalam menunaikan Rukun Islam kedua. -Foto: CANVA
PENTING untuk kita belajar dan sentiasa memperbetulkan solat menuju kepada kesempurnaan dalam menunaikan Rukun Islam kedua. -Foto: CANVA
A
A
A

BARU-BARU ini, heboh tentang isu telekung yang menjadi pakaian solat bagi kebanyakan kaum Hawa untuk menutup aurat dengan sempurna.

Gara-gara tularnya infografik mengenainya dan pemakaian tidak menutup aurat di dalam telekung boleh menjejaskan kesahan solat, ramai meluahkan rasa gusar dengan status sembahyang yang berpuluh tahun didirikan.

Bagi meredakan polemik itu, satu muzakarah pakar bakal diadakan untuk meneliti isu tersebut.

Dari satu sudut, isu-isu sebegitu memperlihatkan masyarakat kita begitu prihatin dengan kewajiban Rukun Islam kedua itu sehinggakan ada yang mula membuat carian di internet tentang solat kerana bimbang amal ibadah mereka tidak diterima ALLAH.

Benar, walaupun kita cukup solat fardu lima waktu sehari semalam, masih ada lagi kekurangan dalam ibadah dikerjakan.

Adakah memadai menunaikan kewajipan solat bagai melepaskan batuk di tangga? Apakah perkara yang sering diremehkan ketika kita menghadap ALLAH?

Aurat ketika solat

Sebelum mengupas lanjut tentang topik itu, pendakwah Ustazah Nurul Hidayah Kamarudin mengajak kita mendasari tentang aurat Muslim ketika solat.

Artikel Berkaitan:

USTAZAH NURUL HIDAYAH
USTAZAH NURUL HIDAYAH

Jelas beliau, ia merupakan salah satu syarat sah sembahyang dan perlu disiapkan sebelum seseorang mula mendirikannya.

Ia berbeza dengan rukun solat yang mana ia bermula apabila kita masuk dalam gerbang solat iaitu takbiratulihram yang menjadi rukun pertama, ungkapnya.

“Bagi orang lelaki, aurat mereka di sisi Mazhab Syafie bermula dari pusat hingga ke lutut, manakala kaum Hawa pula seluruh tubuh badan kecuali muka dan tapak tangan.

“Semua aurat ini perlu ditutup sebelum kita mengangkat takbiratulihram. Cuma dari segi pemakaian, tidak disebutkan secara khusus dalam kitab-kitab fiqah,” katanya kepada Sinar Islam Plus baru-baru ini.

Penceramah terkemuka itu kemudian menerangkan maksud aurat dalam solat yang mana ia mestilah tidak menampakkan warna kulit seseorang.

“Sekiranya bentuk badan kita kelihatan, ia masih lagi dikira menutup aurat (dalam solat) kerana kesukaran untuk kita memakai sesuatu yang tidak nampak bentuk,” hurainya.

Antara set tudung telekung berserta kain (two pieces) atau telekung bersambung (one piece), mana satu yang terbaik?

 JIKA diberi pilihan, penggunaan telekung bersambung (one piece) adalah lebih baik untuk keluar daripada khilaf. -Foto: CANVA
JIKA diberi pilihan, penggunaan telekung bersambung (one piece) adalah lebih baik untuk keluar daripada khilaf. -Foto: CANVA

Menjawab persoalan itu, Ustazah Nurul Hidayah menjelaskan, jika diberi pilihan, telekung bersambung adalah lebih baik untuk keluar daripada khilaf memandangkan terdapat perbezaan pandangan ulama.

“Namun perlu diingatkan, kita tidak menafikan sekiranya seseorang solat menggunakan telekung ‘two pieces’, ia tidak menjadi masalah walaupun tidak memakai pakaian lengkap di dalamnya,” terangnya.

Hukum-hakam solat

Menyambung hujah, Ustazah Nurul Hidayah kemudian mengupas tentang beberapa perkara penting dalam solat yang tidak boleh diremehkan.

Antara lain, beliau mengingatkan agar kita tidak solat di atas telekung atau kopiah dipakai kerana perbuatan itu boleh membatalkan solat.

Mengertilah, dahi merupakan antara tujuh anggota wajib ketika sujud dan ia mestilah terbuka sekurang-kurangnya satu pertiga serta mengenai tempat sujud, terangnya.

“Fahamilah bahawa tujuan kita memakai kopiah misalnya adalah untuk menghalang rambut lelaki daripada menutupi dahi (supaya kena tempat sujud),” hurainya.

MESKIPUN ramai yang tahu tentang kewajiban solat dan sudah mendirikannya, tetapi usahlah kita melaksanakannya sekadar melepaskan batuk di tangga kerana Rukun Islam kedua itu perlu didirikan dengan sempurna. -Foto: CANVA
MESKIPUN ramai yang tahu tentang kewajiban solat dan sudah mendirikannya, tetapi usahlah kita melaksanakannya sekadar melepaskan batuk di tangga kerana Rukun Islam kedua itu perlu didirikan dengan sempurna. -Foto: CANVA

Begitu juga halnya dengan berdeham ketika mendirikan solat yang mana ia boleh membatalkan kewajiban dikerjakan bergantung kepada tujuan dan sebutan yang keluar.

“Jika berdeham kerana tekak gatal disebabkan batuk dan tidak boleh dikawal, maka ia dimasukkan sebagai perkara yang bukan disengajakan.

“Dari segi sebutan yang keluar sewaktu berdeham, jika ia boleh disebut atau ditulis menjadi satu perkataan contohnya ‘ehem’, maka sudah membatalkan solat,” terangnya.

Kepada satu soalan, Ustazah Nurul Hidayah menjawab: “Bagi lelaki yang solat tanpa berpakaian dan hanya mengenakan kain pelekat paras bawah dada ke bawah, solatnya tetap sah kerana ia sudah mengikuti maksud menutup aurat dari pusat ke lutut. Cuma ia belum cukup dari sudut adabnya,” katanya.

Bagi mereka yang kerap mendirikan solat ‘cepat seperti ribut’, pendakwah itu mengingatkan agar tidak meninggalkan tamakninah yang menjadi rukun kepada setiap perbuatan kita dalam sembahyang.

Meskipun ramai yang tahu tentang kewajiban solat dan sudah mendirikannya, Ustazah Nurul Hidayah menitipkan pesanan agar ia tidak dilaksanakan bagai melepaskan batuk di tangga kerana Rukun Islam kedua itu perlu didirikan dengan sempurna.

TUTUPLAH aurat dengan sempurna sebelum mula mendirikan solat kerana ia merupakan antara syarat sah sembahyang. -Foto: CANVA
TUTUPLAH aurat dengan sempurna sebelum mula mendirikan solat kerana ia merupakan antara syarat sah sembahyang. -Foto: CANVA

Sebagai seorang hamba, jelas beliau, pasti ada lagi perkara tidak sempurna dalam mendirikan Rukun Islam kedua itu.

“Untuk menuju kesempurnaan solat itu, maka hendaklah kita menuntut ilmu kerana ia akan menyebabkan kita faham sudah sempurnakah rukun solat yang dikerjakan, syarat sah solat dan penghayatan diri.

“Semua itu termasuk dalam kesempurnaan solat. Lihat sahaja pada (perbuatan) Nabi Muhammad SAW selepas solat, Baginda mulakan dengan menyebut astaghfirullahal ‘azim, bukan alhamdulillah.

“Itu tandanya kita hamba yang sangat banyak kekurangan dalam ibadah agung wajib yang didirikan,” katanya.

Justeru, beliau mengajak umat agar memohon kepada ALLAH SWT agar diberikan petunjuk dan kefahaman tentang kesempurnaan solat.

“Jangan pernah berhenti untuk belajar betulkan solat menuju kepada kesempurnaan,” titipnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!