95 peratus kebakaran di tapak kitar semula berjaya dikawal - Bomba
KOTA BHARU - Sebanyak 95 peratus kawasan kebakaran di sebuah tapak pengumpulan bahan kitar semula di Jalan Padang Tembak, Kawasan Perindustrian Pengkalan Chepa di sini telah berjaya dikawal dan dijangka selesai sepenuhnya hari ini.
Ketua Zon 1 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan, Penguasa Kanan Bomba Khairul Ariffin Che Ramli berkata, operasi yang memasuki hari kelima itu turut menggunakan sebuah jentera dengan dua pancutan air dan dua jengkaut dari pemilik syarikat terbabit.
"Operasi diteruskan sejak pukul 9 pagi tadi bagi memadamkan baki api yang tinggal sebanyak lima peratus lagi dan kerja-kerja memadamkan api dijangka selesai hari ini," katanya ketika dihubungi pemberita pada Khamis.
Sementara itu, Timbalan Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Kelantan, Mohamad Zamzani Ibrahim berkata, pihaknya akan menunggu laporan daripada pihak bomba mengenai kejadian kebakaran itu untuk tindakan selanjutnya.
Beliau berkata, sebarang tindakan hanya akan diambil berdasarkan laporan yang diterima termasuk sama ada ia dilakukan secara sengaja atau tidak.
Pada 27 Oktober lepas, tapak pengumpulan bahan kitar semula berkenaan terbakar 80 peratus pada kira-kira 6 petang dan 40 anggota bomba terlibat dalam usaha memadam kebakaran itu dengan bantuan lima jentera dan empat lori tangki air. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!