Belajar ilmu asas fardu ain, agama sepanjang hayat

MESKIPUN tiada masalah menjadikan Google sebagai rujukan untuk mendapatkan ilmu agama, setiap individu perlu bijak memilih sumber dipercayai dan rujukan ulama berautoriti memandangkan tidak semua maklumat tersebut tepat serta sahih. -Foto: CANVA
MESKIPUN tiada masalah menjadikan Google sebagai rujukan untuk mendapatkan ilmu agama, setiap individu perlu bijak memilih sumber dipercayai dan rujukan ulama berautoriti memandangkan tidak semua maklumat tersebut tepat serta sahih. -Foto: CANVA
A
A
A

MESKIPUN sudah mempelajari ilmu asas fardu ain di sekolah, umat Islam masih tetap perlu mendalaminya sepanjang hayat untuk memastikan ibadah diterima dan bertepatan dengan tuntutan syariat.

Pensyarah di Akademi Tamadun Islam, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Teknologi Malaysia, Prof Madya Dr Siti Norlina Muhamad menjelaskan, apa yang dipelajari di sekolah hanyalah permulaan dan perlu ditingkatkan dari semasa ke semasa.

DR SITI NORLINA
DR SITI NORLINA

Ini kerana katanya, realiti semasa menunjukkan banyak situasi baharu dan permasalahan kontemporari yang memerlukan pengetahuan tambahan.

“Sebagai contoh, isu berkaitan telekung yang tular baru-baru ini menunjukkan bahawa terdapat perbincangan mendalam tentang aspek pakaian solat yang mungkin tidak dibahas secara mendalam di sekolah.

“Sedangkan ilmu agama bukan sekadar teori, tetapi turut merangkumi amalan praktikal yang berubah mengikut masa dan keadaan. Umpamanya peralatan dan pakaian yang digunakan untuk beribadah pada masa kini mungkin berbeza dengan zaman dahulu dan ini memerlukan pengetahuan terkini.

“Tanpa usaha mendalami ilmu, seseorang mungkin akan terlepas pandang perubahan atau tambahan hukum berkaitan,” katanya kepada Sinar Islam Plus baru-baru ini.

Artikel Berkaitan:

Seperkara lagi, ujar ahli akademik itu, mendalami ilmu selepas tamat sekolah bukan sekadar untuk memastikan kesahan ibadah, tetapi juga untuk meningkatkan kualiti ibadah dan ketakwaan kepada ALLAH SWT.

“Mengertilah, memperbaiki cara solat, memahami lebih mendalami tentang syarat-syarat sah ibadah dan tafsir al-Quran serta hadis akan membawa kita lebih dekat kepada-NYA,” ungkapnya.

Ya, memang semua tahu tentang kewajipan solat atau puasa, tetapi ujar Dr Siti Norlina, kebanyakan orang hanya melaksanakan ibadah secara ritual tanpa memahami rukun, syarat dan adab sepatutnya.

“Ada yang menganggap solat sah hanya kerana mereka telah melaksanakannya tanpa memikirkan aspek khusyuk, niat dan kebersihan.

MENDALAMI ilmu selepas tamat sekolah bukan sekadar untuk memastikan kesahan ibadah, tetapi juga untuk meningkatkan kualiti ibadah dan ketakwaan kepada ALLAH SWT. -Foto: CANVA
MENDALAMI ilmu selepas tamat sekolah bukan sekadar untuk memastikan kesahan ibadah, tetapi juga untuk meningkatkan kualiti ibadah dan ketakwaan kepada ALLAH SWT. -Foto: CANVA

“Oleh itu, ada keperluan untuk menggalakkan pengajian berterusan dalam kalangan masyarakat sama ada melalui kelas agama, seminar atau pembacaan buku berkaitan kerana apabila seseorang memiliki pengetahuan yang cukup tentang ibadah, ia dapat membantu individu melaksanakan kewajipan dengan lebih baik.

“Kesedaran tentang rukun, syarat sah dan adab-adab beribadah penting untuk memastikan amalan dilakukan tidak hanya secara fizikal, tetapi juga dengan hati yang tulus dan penuh penghayatan,” hurainya.

Tidak cukup berguru dengan Google

Mengulas tentang sikap segelintir masyarakat mempelajari ilmu asas fardu ain bergurukan Google dan seumpamanya, pensyarah itu menjelaskan, setiap individu perlu bijak memilih sumber dipercayai dan rujukan ulama berautoriti memandangkan tidak semua maklumat tersebut tepat serta sahih.

PENTING untuk kita mendalami ilmu agama sepanjang hayat kerana pengetahuan tentangnya bukan sekadar teori, tetapi turut merangkumi amalan praktikal yang berubah mengikut masa dan keadaan. -Foto: CANVA
PENTING untuk kita mendalami ilmu agama sepanjang hayat kerana pengetahuan tentangnya bukan sekadar teori, tetapi turut merangkumi amalan praktikal yang berubah mengikut masa dan keadaan. -Foto: CANVA

Bukan itu sahaja, jelas beliau, pendekatan menggali pengetahuan sebegitu tidak memberi peluang untuk berinteraksi secara langsung dengan guru.

“Pembelajaran secara bersemuka membolehkan pelajar bertanya, mendapatkan penjelasan mendalam dan melihat cara pelaksanaan ibadah secara praktikal.

“Ini penting kerana ibadah seperti solat melibatkan banyak aspek yang perlu ditunjukkan secara langsung termasuk cara gerakan dan bacaan.

“Tanpa bimbingan daripada seorang guru berpengalaman, ada kemungkinan individu hanya memahami ibadah secara asas sahaja tanpa mengetahui rukun, syarat dan sunnah yang mendalam. Ini boleh menyebabkan pelaksanaan ibadah tidak sempurna dan mungkin tidak diterima oleh ALLAH,” terangnya panjang lebar.

Meskipun demikian, jelas Dr Siti Norlina, belajar ilmu asas fardu ain melalui platform Google tidak dinafikan boleh menjadi langkah awal yang baik, tetapi tidak cukup untuk membentuk pemahaman dan pelaksanaan ibadah yang betul serta berkualiti.

Dalam pada itu, ahli akademik tersebut mengajak umat untuk mengubah penetapan minda masing-masing yang menganggap ‘melakukan ibadah fizikal sudah memadai’.

Sebaliknya jelas beliau, penting untuk kita menghayati dan mengamalkan nilai-nilai yang terkandung dalam ibadah serta sedar bahawa setiap amalan mempunyai tuntutan yang perlu difahami.


MENDALAMI ilmu selepas tamat sekolah bukan sekadar untuk memastikan kesahan ibadah, tetapi juga untuk meningkatkan kualiti ibadah dan ketakwaan kepada ALLAH SWT. -Foto: CANVA
MENDALAMI ilmu selepas tamat sekolah bukan sekadar untuk memastikan kesahan ibadah, tetapi juga untuk meningkatkan kualiti ibadah dan ketakwaan kepada ALLAH SWT. -Foto: CANVA

“Meskipun kesedaran masyarakat mengenai asas fardu ain kini menunjukkan perkembangan, tetapi masih banyak ruang untuk penambahbaikan.

“Pendidikan berterusan, pemahaman mendalam dan kerjasama dalam menyebarkan ilmu agama adalah kunci untuk meningkatkan kesedaran serta pelaksanaan ibadah lebih berkualiti dalam kalangan umat Islam,” terangnya.

ANEKDOT

Ilmu fardu ain yang wajib diketahui umat Islam

1. Rukun Iman

- Umat Islam wajib memahami enam Rukun Iman yang merupakan pokok ajaran Islam iaitu percaya kepada ALLAH, malaikat, kitab-kitab, rasul-rasul, hari kiamat dan takdir (qada dan qadar).

- Memahaminya akan membantu mengukuhkan kepercayaan dan ketakwaan seseorang kepada ALLAH.

2. Rukun Islam

- Sebagai Muslim, kita perlu memahami dan mempraktikkan lima Rukun Islam iaitu mengucap dua kalimat syahadah, menunaikan solat lima waktu sehari semalam, mengeluarkan zakat, berpuasa sebulan pada bulan Ramadan dan menunaikan haji bagi yang mampu.


APABILA seseorang memiliki pengetahuan yang cukup tentang ibadah, ia dapat membantu individu melaksanakan kewajipan dengan lebih baik. -Foto: CANVA
APABILA seseorang memiliki pengetahuan yang cukup tentang ibadah, ia dapat membantu individu melaksanakan kewajipan dengan lebih baik. -Foto: CANVA

3. Solat

- Penting mengetahui dan memahami syarat-syarat sah solat seperti suci daripada hadas (besar dan kecil), berpakaian menutup aurat, menghadap kiblat dan niat solat. Ini adalah asas untuk memastikan solat diterima.

- Muslim juga wajib mengetahui rukun-rukun solat (seperti berdiri, membaca surah al-Fatihah, rukuk, sujud dan salam) serta sunnah-sunnah yang boleh meningkatkan kualiti solat seperti bacaan dan gerakan tertentu.

4. Bersuci

- Selain itu, perlu faham cara mengambil wuduk dan tayamum serta syarat-syaratnya bagi memastikan solat dilakukan dalam keadaan bersih.

5. Fardu ain dan kifayah

- Individu Muslim juga mesti memahami konsep fardu ain (tanggungjawab yang mesti dilaksanakan oleh setiap individu) dan fardu kifayah (tanggungjawab yang mesti dilaksanakan oleh sebahagian umat Islam). Ia dapat membantu umat Islam memahami tanggungjawab mereka dalam masyarakat.

6. Adab dan akhlak dalam beribadah

- Memahami adab-adab beribadah seperti ikhlas, khusyuk dan sabar dalam melaksanakannya merupakan salah satu aspek penting dalam memastikan amal ibadah diterima oleh ALLAH.

- Begitu juga hal yang berkaitan dengan pemahaman terhadap hukum-hakam asas berkaitan muamalah (urusan harian) dan akhlak adalah penting termasuk hal-hal berkaitan halal dan haram dalam makanan, pakaian serta transaksi.

*Sumber: Pensyarah di Akademi Tamadun Islam, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Teknologi Malaysia, Prof Madya Dr Siti Norlina Muhamad

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!