100,000 pengunjung bakal 'gegar' penganjuran Bohex 2024
KOTA KINABALU - Kira-kira 100,000 pengunjung dan peserta dijangka hadir memeriahkan penganjuran Pameran Halal Antarabangsa Borneo (Bohex) 2024 yang akan berlangsung selama lima hari bermula 21 Disember depan.
Penganjuran Bohex buat julung kalinya diadakan di Borneo memilih Kota Kinabalu sebagai lokasi untuk membantu Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mempertingkatkan kesedaran mengenai pensijilan halal dan juga produk halal yang dihasilkan.
Pengarah Urusan Eminent Source Sdn Bhd, Mohd Arief Hafizi Mohd Hashim berkata, pihaknya merupakan rakan strategik Jakim untuk mencari kaedah bagaimana membantu meningkatkan lagi kesedaran dalam industri halal di Malaysia.
"Jadi menerusi penganjuran Bohex ini merupakan salah satu medium yang kita boleh gunakannya bagi meningkatkan lagi kesedaran di kalangan masyarakat dan ia bukan tertumpu di Sabah saja tetapi juga Sarawak.
"Malah ia juga diperluaskan kepada negara luar dengan penyertaan dari lapan negara iaitu Indonesia, Brunei, Singapura, China, Thailand, Jepun, Arab Saudi dan juga Kemboja," katanya dalam sidang akhbar di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini pada Khamis.
Katanya lagi, Bohex yang akan dirasmikan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor itu akan menyediakan sebanyak 500 reruai dan dibuka kepada kesemua pengusaha dari dalam dan luar negara.
"Bagaimanapun, untuk halal ini kita tidak terlalu tertumpu kepada produk makanan saja, kita juga terbuka kepada pelbagai industri seperti produk pakaian, logistik, mesin, farmasi dan perubatan.
"Dari segi pengisiannya juga, kita akan memperkenalkan kursus berkaitan pensijilan halal termasuk memberi pendedahan dan pendidikan kepada masyarakat mengenai halal itu sendiri.
"Orang ramai yang hadir ke Bohex juga berpeluang untuk memenangi hadiah cabutan bertuah termasuk dua kereta Perodua Bezza dan Axia serta sebuah motosikal selain kelengkapan rumah," katanya.
Tambah Mohd Arief Hafizi lagi, perkhidmatan bas secara percuma juga disediakan di enam kawasan sekitar Kota Kinabalu, Penampang dan Putatan.
"Shuttle bas secara percuma semasa penganjuran Bohex juga disediakan iaitu di pusat beli belah Suria Sabah, Imago, One Borneo, ITCC, Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) dan juga Hotel Pan Borneo.
"Penyediaan bas ini bagi memudahkan orang ramai berkunjung selama lima hari Bohex diadakan di SICC," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!