Delegasi Malaysia ucap tahniah kepada Uzbekistan atas kejayaan pilihan raya

Foto pada 27 Oktober lalu memaparkan kempen pilihan raya Uzbekistan. Foto AFP
Foto pada 27 Oktober lalu memaparkan kempen pilihan raya Uzbekistan. Foto AFP
A
A
A

KUALA LUMPUR - Timbalan Yang Dipertua Dewan Negara, Datuk Nur Jazlan Mohamed, yang mengetuai delegasi Malaysia sebagai pemerhati antarabangsa dalam pilihan raya parlimen Uzbekistan yang diadakan pada Ahad, mengucapkan tahniah atas kejayaan itu.

Menurut Agensi Berita Nasional Uzbekistan, O'zbekiston Milliy axborot agentligi atau UZA, Nur Jazlan menyampaikan ucapan tahniah semasa lawatannya ke Suruhanjaya Pilihan Raya Pusat (CEC) di Tashkent pada Selasa.

"Pengerusi CEC Zayniddin Nizamkhodjayev menyatakan bahawa pendekatan inovatif telah digunakan untuk pilihan raya menggunakan peranti elektronik.

"Para tetamu mengucapkan tahniah kepada rakyat Uzbekistan atas kejayaan pilihan raya," menurut laporan itu.

CEC dalam hantarannya di laman webnya pada Selasa berkata keputusan pilihan raya telah disahkan secara rasmi dan mandat parlimen diagihkan dalam kalangan parti politik.

Menurut CEC, 150 timbalan yang dipilih ke Dewan Perundangan Majlis Oliy adalah daripada parti politik berikut: Pergerakan Usahawan dan Ahli Perniagaan - Parti Demokratik Liberal Uzbekistan (O'zLiDeP) - 64 kerusi atau 42.7 peratus; Parti Demokratik "Milliy Tiklanish" (Kebangkitan Nasional) Uzbekistan - 29 kerusi atau 19.3 peratus; Parti Sosial-Demokratik "Adolat" Uzbekistan - 21 kerusi atau 14 peratus; Parti Demokratik Rakyat Uzbekistan (XDP) - 20 kerusi atau 13.3 peratus; dan Parti Ekologi Uzbekistan - 16 kerusi atau 10.7 peratus.

Pada Isnin, Nizamkhodjayev mengumumkan bahawa 74.72 peratus atau 15 juta pengundi daripada lebih daripada 19 juta jumlah pengundi di republik itu mengundi pada Ahad.

Seramai 140,388 rakyat Uzbekistan mengundi di 57 pusat mengundi yang ditubuhkan di misi diplomatik di 40 negara, katanya.

Artikel Berkaitan:

Enam rakyat Malaysia menjadi pemerhati antarabangsa dalam pilihan raya Uzbekistan pada Ahad.

Selain Nur Jazlan, mereka ialah Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Seri Ramlan Harun, Naib Canselor/Presiden Universiti Malaya Prof Datuk Seri Ir Dr Noor Azuan Abu Osman, Pengerusi Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa Malaysia (ISIS) Datuk Prof Dr Mohd Faiz Abdullah, Ahli Parlimen Kuching yang juga Ketua Kumpulan Antara Parlimen Malaysia-Uzbekistan Kelvin Yii Lee Wuen dan Ketua Program (Pendidikan Pengundi) Akademi Pilihan Raya SPR Mohd Rizuan Md Drus. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!