Gaji RM1,700 tapi ingin beli kereta harga lebih RM150,000
SHAH ALAM - Sesetengah generasi Z dilihat kurang bijak menguruskan kewangan apabila mereka menginginkan kenderaan impian tanpa memikirkan kemampuan diri sendiri.
Penjual kereta import, Wan M Faris mendedahkan perbualan bersama pelanggan bergaji RM1,700 sebulan yang mahu membeli sebuah kereta berjenama Honda jenis FL1.
Menurutnya, individu berkenaan meminta diskaun sehingga RM63,000 bagi kenderaan yang mempunyai nilai pasaran berharga RM163,000.
“Tak dapat, (harga) daripada RM163,000 terus junam jadi RM100,000. Maaf.
“Bukan tolak rezeki, memang tak masuk akal FL1 harga itu,” katanya menerusi tangkap layar yang dimuat naik di Facebook pada Rabu.
Susulan itu, pelanggan berkenaan menganggap Wan M Faris menolak rezeki kerana tidak mahu menjual kenderaan tersebut kepadanya walaupun telah menyediakan wang pendahuluan sebanyak RM6,000.
Menerusi hantaran itu, Wan M Faris turut meluahkan kekecewaan atas sikap pembeli yang terdiri daripada generasi Z kerana didakwa meminta potongan harga lebih rendah daripada nilai pasaran.
Menurutnya, ada dalam kalangan mereka sering meninggalkan komen-komen negatif di ruangan iklan di media sosial.
“Selagi tak dapat harga dia nak, selagi itulah dia ajak kawan-kawan komen benda merepek.
“Kadang-kadang kita abaikan sesuatu benda itu, bersebab. Bukan kerana kita sombong, tetapi untuk kebaikan diri sendiri,” katanya.
Sehubungan itu, dia turut menasihati generasi Z supaya berusaha lebih untuk mencapai sesuatu yang diinginkan.
“Jangan ajar diri terlalu manja. Uruskan wang anda dengan bijak.
“Semoga berjaya dan jangan buat lagi,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!