Empat dekad KOPENAS cemerlang dengan pencapaian membanggakan

Pengerusi KOPENAS, Jumat Mat Lani (tiga dari kiri) mengiringi Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Ewon Benedick merasmikan pelancaran 40 tahun Kopenas di Kuantan, Pahang.
Pengerusi KOPENAS, Jumat Mat Lani (tiga dari kiri) mengiringi Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Ewon Benedick merasmikan pelancaran 40 tahun Kopenas di Kuantan, Pahang.
A
A
A

KUANTAN – Koperasi Perkhidmatan Pelajaran Nasional Berhad (KOPENAS) meraikan ulang tahun ke-40 dengan penuh kebanggaan pada tahun ini. Ditubuhkan pada tahun 1984, KOPENAS kini berkhidmat untuk 35,244 ahli yang terdiri daripada kakitangan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan terus mengekalkan kecemerlangan dalam sektor koperasi di negara ini.

Di persada nasional, KOPENAS berjaya mengekalkan kedudukannya dalam senarai 100 Koperasi Terbaik Malaysia, menduduki tangga ke-59 pada tahun 2024.

Malah, dalam Anugerah Koperasi Terbaik Wilayah Persekutuan, koperasi ini meraih tempat ke-22 daripada lebih 1,100 koperasi, memperkukuhkan kedudukannya sebagai salah satu koperasi paling berprestasi di Wilayah Persekutuan.

Pada tahun 2023, KOPENAS juga mencatat pendapatan lebih RM7 juta hasil daripada aktiviti kredit yang dijalankan.

Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Wilayah Persekutuan, Fadilah Salim, menyatakan bahawa kedudukan koperasi dalam 100 Terbaik dinilai berdasarkan pendapatan (50 peratus), kumpulan wang anggota (30 peratus), dan aset (20 peratus).

Beliau turut menekankan bahawa keahlian dan pengurusan perundangan yang baik adalah kunci kejayaan KOPENAS sebagai peneraju gerakan koperasi.

Selari dengan perubahan teknologi, KOPENAS bekerjasama dengan VX Technica untuk memperkenalkan platform digital koperasi melalui aplikasi School Transformation E-Platforms (STEP).

Program tersebut akan mentransformasikan operasi koperasi di lebih 600 sekolah di Semenanjung Malaysia, memodenkan pengurusan inventori, transaksi, dan pelaporan demi meningkatkan kecekapan.

Artikel Berkaitan:

Menurut Pengerusi KOPENAS, Jumat Mat Lani, penambahan kakitangan tetap dari 12 kepada 27 orang dalam tempoh empat tahun adalah bukti pertumbuhan pesat koperasi ini.

“Usaha berterusan dalam memperkukuhkan proses kerja dan sistem operasi demi memastikan pengembangan KOPENAS ke seluruh negara,” katanya pada majlis pelancaran 40 tahun KOPENAS.

KOPENAS juga optimis tentang peruntukan RM815 juta daripada Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) bagi tahun 2025, dengan RM263.1 juta diperuntukkan untuk pengurusan dan RM551.9 juta untuk pembangunan.

Dengan peruntukan ini, KOPENAS merancang memperluas aktiviti perniagaannya, meningkatkan daya saing di peringkat nasional, serta mempelbagaikan sumber pendapatan.

Mengorak langkah seiring Dasar Koperasi Malaysia 2030 (DaKoM 2030), KOPENAS giat menjalinkan kerjasama strategik dengan pelbagai rakan kongsi untuk memperkukuhkan prestasi ekonomi koperasi di Malaysia.

Transformasi berkenaan dijangka bukan sahaja membawa impak positif kepada ahli, malah turut mengukuhkan keyakinan masyarakat terhadap peranan koperasi dalam memajukan sosioekonomi negara.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!