Lelaki maut dalam nahas dua MPV
MUAR – Seorang lelaki maut manakala empat cedera dalam kemalangan melibatkan dua kenderaan di Kilometer (KM) 138 Lebuhraya Utara-Selatan, di sini, pada awal pagi Khamis.
Menurut Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Yong Peng, Pegawai Bomba Kanan II Khairol Nizam Aresat, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu pada jam 5.04 pagi.
Katanya, sebaik menerima panggilan berkenaan satu pasukan keluaran operasi (PKO) melibatkan satu unit jentera perkhidmatan penyelamatan perawatan kecemasan (EMRS) dan satu jentera Fire Response Vehicle (FRV) dikejarkan ke lokasi.
“Sejurus tiba ke lokasi, PKO mendapati kemalangan berkenaan melibatkan dua kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Hyundai Starex dan Toyota Unser.
“Seorang penumpang Hyundai Starex, Chang Lee Won berumur 44 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi manakala tiga penumpang lain mengalami kecederaan,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Dua penumpang Toyota Unser pula tidak mengalami sebarang kecederaan dan dihantar ke hospital bagi mendapatkan rawatan lanjut.
Operasi ditamatkan pada jam 6.32 pagi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!