SPRM perlu terjah setiap jabatan kerajaan
TINDAKAN Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memulakan siasatan berhubung kewujudan kartel dalam pengagihan dan perbekalan kontrak baja padi di sebuah pertubuhan di bawah kawalan sebuah kementerian yang dianggarkan bernilai RM1.8 bilion adalah satu keputusan yang tepat.
Andai kata berlaku sebarang salah laku dan rasuah, maka pelaku yang menyebabkan kerugian kepada negara dapat dihukum dengan segera supaya ia tidak terus menjadi barah dalam agensi berkenaan.
Kakitangan yang terlibat sama ada secara langsung atau tidak hendaklah memberikan kerjasama sebaiknya dan jika ada maklumat berharga, salurkan segera supaya SPRM dapat bertindak dengan lebih pantas menyelesaikan isu tersebut.
Dengan kesungguhan SPRM itu, ia juga dapat menjadi petanda aras kepada semua pihak tiada siapa yang akan terlepas jika terbabit dengan rasuah.
Melihat kepada iltizam SPRM juga, adalah menjadi harapan rakyat Malaysia agar setiap jabatan yang terlibat dengan projek kerajaan yang menelan belanja besar dimasukkan dalam senarai untuk diterjah SPRM.
Masuklah siasat ke setiap jabatan agar tiada yang berani terlibat untuk melakukan rasuah sama ada memberi ataupun menerima.
Jadikan ia sebagai satu amaran besar-besaran dan secara tidak langsung sebelum mana-mana pegawai ada niat untuk ‘buat’ duit daripada setiap projek, mereka akan terbayang ‘kedatangan’ SPRM.
Siasat juga mana-mana individu tidak kira siapa di belakang mereka sama ada berpengaruh atau tidak kerana rasuah ini perlu dibanteras habisan-habisan agar wang rakyat tidak terus terbazir begitu sahaja.
Budaya rasuah harus dihentikan dengan segera kerana jika tidak, sampai bila-bila perancangan yang baik oleh pihak atasan untuk membantu rakyat di peringkat akar umbi akan terbantut. Hanya disebabkan peruntukan yang bocor angkara pelaku rasuah.
Perbuatan rasuah juga jelas boleh menghancurkan negara dan rakyat, dan oleh kerana itu mereka yang terlibat dengan jenayah tersebut tidak boleh dimaafkan.
Bersama-samalah kita menyokong segala agenda perubahan untuk membanteras rasuah demi kebaikan rakyat dan masa depan anak cucu kita.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!