Misteri bunyi aneh dari rumah jiran sebelah belum terungkai
HINGGA hari ini, insiden gegaran dan dentuman kuat yang dirasai di beberapa kawasan sekitar Ipoh, Perak pada minggu lalu masih kekal misteri apabila punca kepada bunyi berkenaan belum dapat dikenal pasti.
Pada Oktober 2018, insiden sama pernah berlaku di bandar raya Ipoh dan daerah lain termasuk Taiping, namun punca kejadian enam tahun lalu itu masih belum menampakkan sebarang petunjuk ataupun jawapannya.
Merak Jalanan harap pakar-pakar dalam negara kita terus berusaha untuk mencari punca gegaran berkenaan.
Jika kita tidak mampu, mungkin boleh minta bantuan pakar daripada negara luar yang berminat untuk merungkai misteri itu. Boleh jadi ada yang berminat untuk menyiasat insiden yang penuh tanda tanya itu.
Tatkala memikirkan senarai perkara misteri yang berlaku dalam negara, Merak Jalanan teringat kisah seorang kawan yang sering terdengar bunyi aneh dipercayai dari rumah jiran sebelah.
Kata kawan Merak Jalanan itu baru-baru ini, bunyi itu akan kedengaran tidak kira masa. Kadangkala waktu pagi, Maghrib dan juga tengah malam.
Kadangkala terdengar seperti bunyi orang ramai sedang menolak almari besar ke kanan dan ke kiri. Kadangkala terdengar bunyi seperti orang bermain guli.
Bunyi itu pula boleh dikatakan berlaku hampir setiap hari.
Anehnya apabila ditanya kepada semua jiran-jiran terlibat, mereka tidak melakukannya dan tidak pula mendengarnya.
Ketika ditanya adakah kawan Merak Jalanan terganggu dengan semua bunyi itu, katanya: “Tidak”.
Oleh itu, bagi Merak Jalanan, jika ia tidak mengganggu kehidupan ataupun boleh mendatangkan bahaya, maka abaikan.
Tapi jika bunyi misteri yang boleh dikaitkan dengan perubahan alam sekitar yang menyebabkan risiko bencana, wajiblah disiasat sedalam-dalamnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!