Kitab Pohon Agama bentuk akidah Muslim sejati
SEPANG - Masyarakat Islam khususnya di Selangor disaran merujuk kitab Pohon Agama bagi mempelajari ilmu tauhid secara lebih berkesan dalam membentuk akidah sebagai Muslim sejati.
Orang Besar Daerah Sepang, Tengku Orang Kaya Maha Bijaya Sepang, Profesor Datuk Dr Jamaluddin Tengku Mahmud Shah Al Haj berkata, kitab berkenaan ditulis Sultan Selangor kelima, Almarhum Sultan Selangor Sultan Ala’u al-Dīn Sulayman Shah Ibni Raja Muda Musa.
Menurutnya, kitab itu dihasilkan pada tahun 1919 Masihi yang mengandungi ilmu asas tauhid sifat-sifat ALLAH SWT.
"Dalam kehidupan yang semakin mencabar hari ini, masyarakat perlu dididik dengan asas ilmu akidah tauhid yang jelas agar tidak tersasar sejak usia kecil lagi.
"Kitab ini disusun khusus untuk kanak-kanak yang baru belajar dengan kata-kata ringkas supaya mudah dipelajari dan diingati seterusnya menjadi panduan hidup sehingga dewasa,” katanya menerusi kenyataan.
Beliau yang juga pemegang waris kitab berkenaan berkata, ilmu tauhid yang lemah dalam diri seseorang antara punca berlakunya pelbagai amalan songsang, khurafat dan ajaran sesat yang semakin membimbangkan dalam kalangan masyarakat hari ini.
“Iman amat berharga bagi seorang Muslim yang menjadikan hidup terpandu dan terarah, dan menyediakan kita laluan hidup yang jelas dan lurus, sehingga kita tidak lemas dalam kegelapan tercari-cari arah tujuan yang tidak pasti.
"Kes-kes ajaran sesat sepertimana yang berlaku melibatkan kumpulan GISBH berpunca daripada pegangan dan fahaman tauhid yang tidak kukuh dan lari dari landasan sebenar," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!