Masih ramai mangsa ribut di Sepanyol belum ditemukan
OVIEDO (Sepanyol) - Usaha mencari dan menyelamat diteruskan di Sepanyol pada Khamis selepas ribut luar biasa mengorbankan sekurang-kurangnya 158 orang dan menyebabkan kemusnahan besar, lapor Agensi Anadolu.
Menurut kerajaan wilayah, sekurang-kurangnya 155 kematian direkodkan di Valencia, kawasan yang paling teruk terjejas, dengan kematian lain dilaporkan di Wilayah Cuenca, Albacete, dan Malaga.
Menteri Pertahanan Sepanyol, Margarita Robles berkata, pihak berkuasa masih belum dapat memberikan angka tepat mengenai mangsa bencana tetapi menyatakan bahawa 'ramai orang' masih belum ditemukan.
Kira-kira 1,000 anggota tentera telah dikerahkan pada pagi Khamis, dengan keutamaan utama mereka adalah mencari mangsa yang hilang.
"Kami tahu di tempat-tempat seperti Paiporta dan Massanassa, mungkin ada orang di garaj, di ruang bawah tanah - orang yang keluar mencari kenderaan mereka," kata Robles dalam wawancara dengan penyiar Telecinco.
Pada pagi Khamis, sembilan mayat ditemukan di kawasan kejiranan La Torre, Valencia - lapan daripadanya di garaj yang sama, menurut datuk bandar.
Media tempatan, termasuk El Mundo, melaporkan bahawa angka kematian meningkat kepada 104.
Kejadian ribut paling teruk berlaku pada Selasa, apabila hujan yang berukuran menghampiri dalam tempoh setahun berlangsung dalam tempoh beberapa jam, menyebabkan banjir kilat, limpahan sungai, dan jalan-jalan di bandar dan pekan bertukar menjadi sungai-sungai yang mengalir deras.
Kejadian ribut yang begitu ganas mengejutkan ribuan orang.
Ramai penduduk yang pulang dari kerja terperangkap dalam kenderaan mereka, manakala yang lain terperangkap di rumah, tempat kerja, restoran, atau pusat beli-belah, menunggu pasukan penyelamat dalam penuh ketakutan ketika paras air meningkat.
Kerajaan Valencia hanya menghantar amaran kecemasan ke telefon pada lewat Selasa malam, meminta orang ramai tinggal di dalam rumah atau mencari tempat tinggi, pada ketika itu kerosakan besar telah pun berlaku.
Perkhidmatan kecemasan segera dibanjiri panggilan dan tidak dapat menghampiri kawasan yang paling teruk terjejas.
Selain tragedi manusia, ribut itu telah menyebabkan kerosakan yang tidak terkira terhadap infrastruktur.
Beribu-ribu isi rumah masih terputus bekalan elektrik atau air minuman dan terasing sepenuhnya akibat penutupan jalan raya dan landasan kereta api.
Dalam sidang akhbar pada Khamis, Menteri Pengangkutan Sepanyol, Oscar Puente mengumumkan bahawa laluan kereta api berkelajuan tinggi antara Madrid dan Valencia yang popular akan ditutup sekurang-kurangnya dua hingga tiga minggu.
Dua terowong di bawah laluan itu mengalami kerosakan teruk dan pekerja perlu memasang semula landasan kereta api sepenuhnya, katanya.
Beberapa laluan kereta api tempatan berada dalam keadaan lebih buruk, yang dianggarkan mengambil masa berbulan-bulan untuk dibaiki.
Sementara itu, sekitar 80 kilometer lebuh raya di Valencia mengalami kerosakan teruk.
Longgokan kenderaan terus memenuhi jalan-jalan yang menjadi kunci kepada perhubungan kawasan itu, kata Puente.
Agensi meteorologi Sepanyol AEMET mengeluarkan amaran merah mengenai bahaya ekstrem pada pagi Selasa, kira-kira 12 jam sebelum kerajaan tempatan menghantar amaran ke telefon.
Banjir turut berlaku di Wilayah Castellon pada Khamis, yang turut diletakkan dalam amaran merah untuk hujan lebat. Catalonia juga mengaktifkan amaran merah untuk kawasan di selatan wilayah itu.
Pada Rabu, banjir kilat turut dilihat di kawasan lain di negara itu seperti selatan Andalusia, yang masih menerima hujan pada Khamis.
Sepanyol telah mengisytiharkan tiga hari berkabung di seluruh negara.
Pada Khamis, ibu pejabat Kesatuan Eropah (EU) menurunkan bendera separuh tiang.
"Banjir di Sepanyol bukan sahaja satu tragedi kebangsaan. Ia juga satu tragedi Eropah. Oleh itu, ia akan menerima respons Eropah," kata Presiden Suruhanjaya Eropah Ursula von der Leyen dalam hantaran di X pada malam Rabu malam. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!