Cuba lolos pemeriksaan imigresen, warga asing maut jatuh jejantas

Tangkap layar menunjukkan mangsa terjatuh dari jejantas menghubungkan JB Sentral dan Bangunan Sultan Iskandar di Johor Bahru.
Tangkap layar menunjukkan mangsa terjatuh dari jejantas menghubungkan JB Sentral dan Bangunan Sultan Iskandar di Johor Bahru.
A
A
A

JOHOR BAHRU – Seorang lelaki warga Sri Lanka maut ketika cuba meloloskan diri daripada pemeriksaan pegawai Jabatan Imigresen (JIM) selepas terjatuh dari jejantas pada Khamis.

Menurut Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat, dalam kejadian 4.48 petang, mangsa yang bekerja sebagai operator kilang itu tergelincir dari jejantas menghubungkan JB Sentral dan Bangunan Sultan Iskandar (BSI) di sini.

“Hasil siasatan mendapati punca lelaki berusia 30 tahun itu terjatuh kerana cuba melepasi pemeriksaan pihak Jabatan Imigresen Malaysia di BSI.

“Mangsa dipercayai terjatuh atas sebuah kereta jenis Perodua Myvi yang melalui kawasan jejantas tersebut.

“Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi dan mayat dibawa ke Hospital Sultanah Aminah (HAS) di sini, bagi tujuan bedah siasat," katanya.

Menurutnya, pihaknya mendapati tiada sebarang unsur-unsur jenayah dan kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut.

Ujarnya, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian boleh menghubungi terus talian hotline Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan di talian 07-2182323.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!