PDN 2024 capai matlamat
Lebih 1,000 program dakwah dilangsungkan sepanjang dua bulan di seluruh negara bersama rakan strategik mengikut acuan Malaysia Madani
PROGRAM DAKWAH NEGARA (PDN) 2024 yang melabuhkan tirainya pada 31 Oktober menyaksikan lebih 1,000 program dilangsungkan sepanjang dua bulan penganjurannya oleh Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim).
Program yang dilaksanakan di seluruh negara bertemakan Hubbul Watan Memacu Malaysia Madani itu telah mencapai matlamatnya dalam usaha melahirkan masyarakat mengikut acuan Malaysia Madani.
Pelbagai pengisian program dilaksanakan melibatkan ejen-ejen dakwah dan entiti Yadim di seluruh negara iaitu menerusi Rakan Siswa Yadim (RSY), Rakan Belia Yadim (RBY), Majlis Amal Islami Malaysia (MAIM), Nadwah Ulama dan Ilmuwan Yadim (NUIM), Majlis Wanita Islam Yadim (MAWIM), Sukarelawan Yadim, para dai dan Ahli Zamalah Yadim.
Bukan itu sahaja, badan dakwah tersebut turut melibatkan pelbagai pihak lain yang terdiri daripada agensi kerajaan, swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan lain-lain bagi memastikan impak dakwah dirasai setiap lapisan masyarakat.
Dakwah merentasi pelbagai golongan sasaran
Bersama penggiat seni umpamanya, Yadim menganjurkan Wacana Patuh Syariah 1.0 di Kuala Lumpur yang menghimpunkan penulis skrip, penerbit, pengarah dan pelakon drama bagi menyantuni serta memberi pencerahan isu patuh syariah dalam penerbitan drama televisyen pada 24 Oktober.
Program dengan kerjasama Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia itu menghimpunkan lebih 80 penggiat seni dan perasmiannya disempurnakan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hassan.
Bagi program melibatkan mahasiswa pula, Yadim terlibat sama sebagai rakan strategik dalam program Karisma Antarabangsa Mahasiswa Madani bersama Kementerian Pengajian Tinggi pada 29 Oktober di Putrajaya.
Hampir 500 pelajar yang akan melanjutkan pelajaran ke Timur Tengah menghadiri program tersebut.
Yang Dipertua Yadim, Datuk Hasanuddin Mohd Yunus menjadi ahli panel dalam sesi forum tersebut, manakala Ketua Pegawai Eksekutif Yadim, Ustaz Zamri Zainal Abidin pula menyampaikan ucapan dalam slot Bicara Kepimpinan Madani.
Malam Puisi Sirah Nabawiyyah yang diadakan dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka pada 30 Oktober pula antara program bersama dengan rakan kerjasama.
Dengan penganjuran program itu, Yadim berhasrat menyemarakkan sambutan Maulidur Rasul dan antara aktiviti yang diadakan ialah bacaan puisi bagi memperingati perjuangan junjungan besar Nabi Muhammad SAW.
Antara yang mendeklamasikan puisi dengan begitu indah termasuk Dr Zulkifli, Hasanuddin dan Sasterawan Negara, Datuk Rahman Shaari serta lebih 200 tetamu hadir menjayakan majlis berkenaan yang diadakan di Kuala Lumpur.
Turut tekankan nilai patriotisme, cakna masyarakat
PDN sepanjang penganjurannya juga tidak lupa menyemarakkan nilai patriotisme dalam diri masyarakat pelbagai kaum dan agama.
Program Jelajah Hubbul Watan dilaksanakan NUIM melibatkan golongan ilmuwan dan para asatizah diadakan bagi memberi tumpuan kepada kepentingan perpaduan serta cinta kepada tanah air.
Pengisian seperti itu memainkan peranan penting dalam menyatukan pelbagai golongan masyarakat, sejajar dengan matlamat Malaysia Madani yang menekankan perpaduan sosial.
Lokasi-lokasi jelajah tersebut ialah di Kedah pada 25 September, Johor (28 hingga 30 September), Pahang (2 Oktober), Negeri Sembilan (9 Oktober), Sarawak (14 Oktober) dan Perak yang diadakan pada 15 Oktober.
Selain itu, PDN juga tetap cakna dengan masyarakat yang ditimpa musibah. Contoh jelas ialah program Cuci-Cuci dan Misi Bantuan Banjir yang dilaksanakan Yadim pada September hingga Oktober 2024 di Kedah.
Program tersebut menyediakan sumbangan keperluan asas kepada lebih 50 keluarga mangsa banjir sambil memberikan sokongan spritual kepada mereka yang terjejas.
Pejabat Yadim di seluruh negara juga turut melaksanakan program-program sepanjang penganjuran PDN 2024 berlangsung.
Pelbagai program di negeri direka dan dilaksanakan sesuai dengan keperluan penduduk di negeri masing-masing.
Program seperti Kem Remaja Pintar Soleh, Cuci-Cuci, Bual Bicara Dakwah, Majlis Ta’alim Al-Hadis Syarah 40 Hadis Imam Al-Nawawi, Kem Revisi Diri Cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Kem Pembinaan Karakter Generasi Madani dan Motivasi Kecemerlangan SPM, Jelajah Pentas Dakwah dan Bengkel Pembangunan Modul Pengajian Tahfiz Turath mendapat sambutan sangat menggalakkan setiap kali ia dianjurkan Yadim negeri.
Yadim akan berusaha dan giat melestarikan gerakan dakwah untuk setiap lapisan masyarakat selain kekal sebagai sebuah badan dakwah yang meraikan semua pihak.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!