Operasi Khas Motosikal besar-besaran bermula hari ini
SHAH ALAM - Operasi Khas Motosikal akan dijalankan secara besar-besaran bermula 1 November hingga 31 Disember di seluruh negara susulan peningkatan kadar kemalangan yang direkodkan pada tahun ini.
Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, pelaksanaan operasi ini melibatkan penunggang dan pemilik motosikal bagi pematuhan undang-undang di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) dan Kaedah-Kaedah di bawahnya.
Beliau berkata, ia dilaksanakan susulan statistik membimbangkan dengan peningkatan trend kadar kemalangan dengan kematian secara bulanan yang telah direkodkan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
"Kadar kemalangan melibatkan motosikal mencatatkan sebanyak 1,908 atau 70 peratus sejak akhir ini.
"Operasi ini menyasarkan pengurangan jumlah kematian dan kecederaan akibat kemalangan jalan raya bagi tempoh sukuan ketiga dan keempat tahun ini," katanya menerusi kenyataan pada Jumaat.
Beliau berkata, ia melibatkan mengesan serta mengambil tindakan terhadap penunggang dan pemilik motosikal yang gagal mematuhi peraturan ditetapkan.
"Fokus bagi meminimumkan kadar kemalangan dan kematian ini melibatkan tumpuan kesalahan seperti tiada lesen memandu, cukai jalan tamat tempoh, tiada perlindungan insurans dan melanggar lampu isyarat merah.
"Selain itu, kesalahan lain melibatkan ubah suai kenderaan secara melampau, tidak memakai topi keledar, lumba haram serta kesalahan lain melibatkan teknikal turut sama diberi perhatian," katanya.
Menurutnya, JPJ memohon kerjasama pengguna jalan raya khususnya penunggang serta pembonceng motosikal untuk sentiasa mematuhi peraturan jalan raya.
"Sentiasa bertoleransi bersama pengguna lain demi keutamaan keselamatan ketika di jalan raya.
"Usaha ini juga untuk meminimumkan kadar kemalangan dan kematian akibat nahas jalan raya di negara ini selaras dengan Pelan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (PKJRM)," katanya.
Tambahnya, orang ramai diseru melaporkan aduan secara terus atau real time menerusi Aplikasi MyJPJ: e-Aduan@JPJ atau emel aduantrafik@jpj.gov.my berserta dengan butiran lengkap aduan.
@sinarharianonline Operasi Khas Motosikal besar-besaran bermula hari ini #fyp #SinarHarian #SinarTerkini #Semasa #OperasiKhasMotosikal #JPJ #JalanRaya
News - AShamaluevMusic
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!