Isu buli, budaya samseng tidak boleh dikompromi - PM

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bercakap pada Program Temu Anwar di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) pada Jumaat. Foto Bernama
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bercakap pada Program Temu Anwar di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) pada Jumaat. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan Kementerian Pendidikan (KPM), untuk tidak berkompromi dengan budaya samseng, buli dan gangsterisme di institusi pendidikan masing-masing.

Menegaskan perkara itu, Anwar berkata, isu berkenaan perlu dilihat dengan lebih serius kerana tiada maknanya keterampilan dan kepimpinan tanpa nilai, adab dan akhlak yang murni.

"Budaya samseng, buli, gangsterisme yang berlaku dalam sistem pendidikan sama ada di sekolah Cina, sekolah Tamil, maahad tahfiz, sekolah agama...ini satu kegilaan kerana kita bicara soal ilmu, tapi tiada akhlak dan nilai.

"Ini cabaran kita dalam program pendidikan, nilai dan akhlak perlu ditekankan, kelemahan kita kerana kita mengambil sikap mengalah, toleran terhadap buli, ini tidak akan berlaku jika budaya menolaknya,” katanya berucap pada program Temu Anwar di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), di sini pada Jumaat.

Turut hadir Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin; Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan Naib Canselor UPNM, Lt Jen Datuk Mardzuki Muhammad.

Perdana Menteri memberikan contoh misalnya pemimpin dunia yang dianggap korup bukanlah tiada pendidikan dan kemahiran, tetapi rendah akal budi dan nilainya.

"Ini yang temasuk saya katakan sistemik dalam semua bidang, termasuk apa yang dibicarakan dalam bidang ketenteraan, cara beli senjata, cara tender, cara rundingan, cara komisen, ini semua ada kaitan dengan nilai dan akhlak,” katanya.

Beliau berkata, mana-mana negara pun tidak boleh meremehkan soal persiapan yang cukup dalam aspek ketenteraan, yang bukan sahaja membabitkan latihan, kecekalan, keterampilan, kepintaran, pemikiran strategik dan kelengkapan, tapi turut meliputi soal disiplin dan nilai.

Artikel Berkaitan:

"Sebab itu soal disiplin di universiti lain itu penting, tapi ‘maha penting’ di universiti ini (UPNM),” katanya.

Perdana Menteri turut menasihatkan penuntut UPNM, yang disifatkan sebagai khazanah negara untuk terus menjadi harapan pimpinan dan rakyat serta negara, dalam menjamin pertahanan dan keselamatan negara, dengan melengkapan diri dengan kepintaran ilmu.

"Jangan pandang ringan amanah ini, tidak ramai yang punyai tanggungjawab sedemikian, menimbalah ilmu sebaik mungkin, latih diri dengan kecekalan dan akhlak yang baik bagi memikul amanah besar ini,” katanya.

Semalam, Angkatan Tentera Malaysia dalam kenyataan memaklumkan sedang menyiasat kes buli dan dera membabitkan seorang pegawai kadet di Akademi Latihan Ketenteraan (ALK), UPNM, yang dibuli seniornya menggunakan seterika ditekap di bahagian dada, sehingga meninggalkan kesan lecur seperti yang tular menerusi media sosial.

Menurut kenyataan itu, kes berkenaan sedang disiasat pada peringkat ALK-UPNM.

Sementara itu Anwar ketika diminta mengulas isu tersebut berkata, kes berkenaan sedang disiasat polis, namun secara umum berharap agar guru besar, pengetua, pengetua kolej serta naib canselor, bertanggungjawab menghentikan isu buli di institusi masing-masing.

"Terlalu banyak aduan, yang dapat (aduan) itu bila kebetulan terbongkar di media sosial, ini harus dihentikan, naya anak-anak,” katanya. - Bernama

@sinarharianonline

Kes buli di UPNM perlu siasatan luar - Bapa Zulfarhan BULETIN TIKTOK 1 NOVEMBER 2024 Kes buli pegawai kadet menggunakan seterika di Akademi Latihan Ketenteraan (ALK), Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Sungai Besi perlu dibawa ke peringkat siasatan luar. Bapa kepada Pegawai Kadet Laut UPNM, Allahyarham Zulfarhan Osman, Zulkarnain Idros berkata, kes tersebut tidak akan menunjukkan sebarang perkembangan sekiranya hanya diuruskan di peringkat dalaman. Muzik: Theatre of Delays - Black Sea - No Drums Version Anda boleh baca berita penuh di portal Sinar Harian di www.sinarharian.com.my atau swipe up di IG story serta jangan lupa follow IG @sinarharian untuk berita terkini dalam dan luar negara. #fyp #SinarHarian #SinarTerkini #BuletinTikTok #Semasa #Nasional #Buli #UPNM #ZulfarhanOsman #PMX #AnwarIbrahim

original sound - Sinar Harian

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!