Banduan nikmati nasi minyak, kurma kambing sempena Hari Keputeraan Sultan Perak
TAIPING - Seramai 7,800 banduan dan tahanan di Perak menikmati menu istimewa bersempena sambutan Hari Ulang Tahun Keputeraan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah ke-68 hari ini.
Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja, Tan Sri Mohd Zahidi Zainuddin berkata, baginda berkenan mengurniakan sumbangan berupa makanan kepada penghuni penjara dan pusat pemulihan di negeri ini buat tahun kedua selepas dimulakan pada tahun lalu.
Menurutnya, menu istimewa itu ialah nasi minyak, ayam masak merah, dalca, kurma kambing dan buah-buahan dengan nilai keseluruhan sumbangan sebanyak RM93,600.
"Saya sendiri sebagai wakil kepada Duli Yang Maha Mulia Tuanku berasa gembiralah melihat banduan-banduan pada hari ini. Diharapkan bahawa mereka dapatlah menginsafi diri dan juga memperbaiki diri mereka. Ini merupakan satu daripada ilham Tuanku untuk memberikan pengiktirafan.
"Lazimnya kita menganggap banduan-banduan sebagai sampah masyarakat tapi mereka sebenarnya boleh boleh memberi sumbangan kepada negeri dan negara jika mereka dilatih. Saya percaya bahawa setiap seorang itu mempunyai kelebihan dan juga kekurangan," katanya kepada pemberita.
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Sumbangan Makanan Kepada Prospek Bersempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan di Kelab Golf Pusat Koreksional Kamunting di sini pada Jumaat.
Hadir sama pada majlis itu, Pengarah Penjara Perak, Charin Promwichit Chem dan Pengarah Pusat Koreksional Kamunting, Norulekhsan Abdul Rahim.
Sementara itu, Charin Promwichit berkata, pihaknya menjunjung kasih atas kurniaan yang diberikan oleh Sultan Nazrin kepada semua penghuni penjara dan pusat koreksional di Perak.
Menurutnya, selain Pusat Koreksional Kamunting, majlis tersebut turut diadakan serentak di Penjara Taiping, Penjara Tapah, Pusat Pemulihan Akhlak Batu Gajah dan Rumah Perantaraan Penjara Perak.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!