PRN Sabah: Warisan terbuka jalin kerjasama dengan parti politik tempatan

Mohd Shafie Apdal
Mohd Shafie Apdal
A
A
A

KOTA KINABALU - Parti Warisan (Warisan) terbuka untuk menjalinkan kerjasama dengan mana-mana parti politik tempatan yang mempunyai hasrat yang sama iaitu mengutamakan hak rakyat dan negeri Sabah.

Presidennya, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, sebagai parti yang sentiasa berpihak kepada rakyat, Warisan beriltizam untuk mengeluarkan Sabah daripada belenggu kemunduran yang masih menghantui rakyat selepas 61 tahun merdeka.

Menurut beliau, Warisan menegaskan komitmen teguhnya dalam memperjuangkan kebajikan dan hak rakyat Sabah, dengan tekad yang tidak berbelah bahagi untuk menangani dan menyelesaikan isu-isu kritikal yang membelenggu rakyat negeri ini.

"Rakyat Sabah terus berdepan dengan pelbagai cabaran dari segi ekonomi, kesihatan dan pendidikan yang menghalang kemajuan mereka.

"Jadi Warisan komited untuk merapatkan jurang pembangunan dengan memperjuangkan hak ekonomi, mempertingkatkan akses kepada perkhidmatan kesihatan berkualiti, serta memastikan sistem pendidikan yang inklusif dan berdaya saing untuk semua lapisan masyarakat," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Kenyataan itu sebagai mengulas laporan sebuah portal mengenai pandangan penganalisis politik yang menjangkakan Warisan akan bertanding solo pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah selepas rakan potensinya Barisan Nasional (BN) dilihat bakal bersama Pakatan Harapan (PH) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Menurut Ahli Parlimen Semporna itu lagi, matlamat utama Warisan adalah ingin menyatukan rakyat Sabah dan bergerak ke arah masa depan yang makmur, stabil dan inklusif untuk semua.

"Kami percaya bahawa kerjasama dengan parti-parti yang berkongsi visi yang sama dapat memperkukuhkan lagi perwakilan rakyat Sabah, serta membentuk kesatuan yang mantap dalam menghadapi cabaran unik yang wujud di negeri ini.

Artikel Berkaitan:

"Komitmen Warisan terhadap autonomi dan kemajuan Sabah tidak akan pernah goyah, dan kami sentiasa bersedia bekerjasama dengan mana-mana pihak yang benar-benar memperjuangkan kepentingan Sabah dan rakyatnya," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!