Saranan tukar Menteri Agama: Hentikan tindakan menghasut, tanam kebencian - Musa

Musa Awang, Zainul Rijal
Musa Awang, Zainul Rijal
A
A
A

SHAH ALAM - Semua pihak digesa untuk menghentikan tindakan menghasut atau menanam kebencian terhadap kedudukan Menteri Agama, mufti dan institusi yang bertanggungjawab bagi memastikan keagungan Islam di negara ini.

Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia, Musa Awang berkata, perbezaan pendapat perlu ditangani dengan sifat toleransi, berlapang dada dan beradab supaya menjadi teras utama dalam membangunkan sebuah masyarakat Madani.

Menurutnya, ia berikutan tular di media sosial mengenai saranan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar digantikan.

“Saya boleh menganggap saranan ahli akademik itu sebagai dangkal iaitu cetek, tidak faham benar atau tidak mempunyai pengetahuan mendalam tentang sesuatu perkara.

“Mufti Wilayah Persekutuan dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong berdasarkan Seksyen 32 Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1993.

“Pelantikan itu dibuat menurut undang-undang yang sedang berkuat kuasa. Jadi, adakah pensyarah terbabit mempertikaikan keputusan Agong? Adakah dia mempertikaikan mufti tersebut sebagai orang yang layak dan sesuai?” katanya pada Jumaat.

Sebelum ini, seorang ahli akademik di universiti tempatan menyarankan agar Mohd Na’im digantikan dengan tokoh lain bagi menangani isu kemelut Rang Undang-Undang (RUU) Mufti Wilayah Persekutuan 2024 dapat ditangani dengan lebih baik.

Malah menurutnya, kerajaan juga perlu memberi pertimbangan kepada cadangan agar seorang tokoh yang ‘lebih baik’ dipilih menduduki jawatan Mufti Wilayah Persekutuan.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, menurut Musa, Yang di-Pertuan Agong melantik Mohd Na’im sebagai senator berdasarkan Fasal (1) Perkara 45 Perlembagaan Persekutuan manakala pelantikannya sebagai menteri juga mengikut Perkara 43.

Musa turut menyelar tindakan ahli akademik terbabit yang mempertikaikan kelayakan dan kesesuaian Menteri Agama.

“Siapakah pensyarah itu untuk mempertikaikan kedua-dua tokoh tersebut yang telah pun dilantik menurut undang-undang dan perlembagaan?” soalnya.

Dalam pada itu, Presiden Badan Peguam Syarie Wilayah-Wilayah Persekutuan, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar berkata, tindakan pensyarah itu mencalar kredibilitinya sebagai seorang ahli akademik yang tidak berhujah atas fakta atau ilmu.

Beliau turut mempersoalkan sama ada individu terbabit telah kehabisan topik ilmiah untuk berhujah sehingga menyarankan kedudukan Menteri Agama digantikan.

“Adakah beliau mempunyai motif tertentu atas desakan tersebut?

“Kita boleh faham kalau netizen atau orang awam yang mendesak sedemikian tetapi kalau benar ia datangnya dari seorang ahli akademik, pasti ia akan mencalar kredibilitinya yang tidak berhujah atas fakta atau ilmu,” ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!