KPT semak kesahihan pelajar Malaysia jadi tentera upahan di Ukraine

Zambry ditemui media selepas menunaikan solat Jumaat bersama warga UPNM. Foto Bernama
Zambry ditemui media selepas menunaikan solat Jumaat bersama warga UPNM. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan mendapatkan maklumat lengkap berhubung dakwaan seorang pelajar Malaysia yang sedang mengikuti pengajian di luar negara terlibat sebagai tentera upahan asing dalam konflik Ukraine dan Rusia.

Menterinya, Datuk Seri Zambry Abd Kadir berkata, pihaknya perlu menyemak kesahihan mengenai perkara itu terlebih dahulu sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan.

“Kita akan semak.. ini terlalu pramatang bagi saya untuk komen sebab saya perlu menyemak fakta terlebih dahulu (berhubung penglibatan pelajar sebagai tentera asing).

“Nanti kalau ada apa-apa, kita akan maklumkan kepada media,” katanya ketika ditemui media selepas Solat Jumaat di Masjid Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) di Sungai Besi, di sini.

Sebelum itu, Zambry hadir dalam Program Temu Anwar yang berlangsung di UPNM.

Memetik laporan media pada Khamis, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain memaklumkan keluarga kepada lelaki yang MyKad dan lesen memandunya didakwa ditemui di medan perang di Ukraine, memaklumkan individu berkenaan sedang melanjutkan pengajian di negara terbabit.

Beliau menambah Bukit Aman juga sedang menunggu maklum balas Kedutaan Rusia berhubung dakwaan pembabitan rakyat Malaysia dalam konflik perang antara negara itu dan Ukraine.

Katanya, Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui Jabatan Cawangan Khas sudah berhubung dengan Kedutaan Rusia di Malaysia berhubung perkara itu.

Pada Selasa, media melaporkan tular penemuan dua keping gambar yang menunjukkan MyKad dan lesen memandu rakyat Malaysia yang didakwa ditemukan di medan peperangan antara Ukraine dan Rusia.

Artikel Berkaitan:

Lelaki yang tular itu kononnya membabitkan diri sebagai tentera upahan dalam '16th Rifle Batallion Ukraine' yang mana ia sedang berdepan dengan tentera Rusia di Ukraine.

Dokumen berkenaan antaranya menunjukkan alamat berdaftar di Padang Besar, Perlis.

Dikatakan, kedua-dua dokumen itu ditemukan selepas kejayaan tentera Rusia menawan kubu tentera Ukraine di Livadny, Zaporizhia, Ukraine. - Awani

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!