Di sebalik kekecewaan penyokong, kes Najib kukuhkan integriti kehakiman

Laporan Sinar Harian berkaitan kes Najib-1MDB. Gambar kecil: Kamarul Zaman
Laporan Sinar Harian berkaitan kes Najib-1MDB. Gambar kecil: Kamarul Zaman
A
A
A

ALOR SETAR - Keputusan mahkamah yang memerintahkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak membela diri dalam kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) memberi gambaran positif terhadap sistem kehakiman negara, di sebalik kekecewaan diluahkan penyokong beliau.

Pensyarah kanan dari Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Kamarul Zaman Yusoff berkata, keputusan tersebut membuktikan kebebasan dalam membuat keputusan tanpa dipengaruhi oleh pengaruh luar.

Menurutnya, walaupun Najib telah memohon maaf atas kejadian yang berlaku dalam 1MDB, selain UMNO kini menjadi sebahagian daripada kerajaan, ia tidak mempengaruhi keputusan mahkamah yang tetap menjalankan proses berdasarkan bukti dikemukakan.

Laporan Sinar Harian berkaitan kes Najib-1MDB.
Laporan Sinar Harian berkaitan kes Najib-1MDB.

“Ini penting untuk imej negara kerana ia menunjukkan undang-undang ditegakkan secara telus tanpa sebarang diskriminasi atau campur tangan politik, sekali gus meningkatkan integriti kehakiman dan keyakinan pelabur asing terhadap sistem kehakiman negara.

“Pada masa sama, semua pihak harus memahami proses perundangan ini dan perlu yakin bahawa sistem kehakiman akan menjalankan tugasnya dengan saksama,” katanya.

Pada Rabu, Najib diperintah membela diri oleh Mahkamah Tinggi atas pendakwaan empat kes menggunakan kedudukan untuk suapan hampir RM2.3 bilion dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram babit wang sama.

Hakim, Datuk Collin Lawrence Sequerah memutuskan demikian selepas mendapati pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie di akhir pendakwaan.

Artikel Berkaitan:

Kamarul Zaman berharap semua pihak menghormati proses undang-undang yang sedang berjalan dan memberikan ruang kepada mahkamah untuk menyelesaikan kes ini dengan adil dan telus.

“Najib telah memilih untuk memberi keterangan bersumpah, bermakna beliau akan menjawab setiap tuduhan dengan teliti. Selain itu, pihak pembelaan pula akan memanggil saksi-saksi bagi mengukuhkan kes terbabit.

“Penyokong boleh teruskan memberi sokongan moral kepada Najib namun kita juga harus yakin walaupun mungkin memakan masa, kebenaran akhirnya akan terjawab melalui sistem perundangan yang berintegriti,” ujarnya.

Beliau turut memahami kekecewaan penyokong Najib berhubung keputusan mahkamah tersebut, namun harus diingat ini hanyalah peringkat awal dalam proses perundangan yang mana bekas Ahli Parlimen Pekan itu belum diputuskan bersalah.

“Antara kekecewaan dibangkitkan, berkaitan bukti digunakan oleh pendakwaan dikatakan tidak kukuh dan kebanyakannya dikatakan berdasarkan cakap dengar (hearsay) yang tidak sepatutnya diterima bulat-bulat oleh mahkamah.

“Ada juga penyokong Najib menyatakan kes ini pincang dengan mendakwa wujud konflik melibatkan hakim. Hakim dikatakan daripada awal sepatutnya tidak mempunyai apa-apa hubungan dengan mana-mana pihak dalam kes diadilinya bagi menjamin keputusannya tidak diragui mana-mana pihak,” jelasnya.

Dalam pada itu, Kamarul Zaman menyifatkan perintah untuk Najib membela diri menunjukkan mahkamah melihat ada elemen-elemen yang memerlukan penjelasan lanjut, namun ini bukanlah penentu akhir.

“Dalam sistem perundangan Malaysia, pihak pembelaan mempunyai ruang luas untuk berhujah dan mencabar setiap bukti dikemukakan, termasuk isu bukti ‘hearsay’ yang dipersoalkan.

“Proses mahkamah di peringkat seterusnya memberi ruang bagi pasukan pembelaan untuk mengemukakan hujah dan keterangan bagi membela Najib dengan adil.

“Kesanggupan Najib untuk beri keterangan bersumpah dalam usaha membela diri juga wajar dipuji kerana ia akan membolehkan pihak pendakwaan menyoal balas Najib di kandang saksi dan membuktikan beliau seorang yang berani dan telus,” ujarnya.

Menurutnya, proses berkenaan akan memberikan ruang bagi kebenaran muncul pada akhir bicara.

“Jika terdapat kekeliruan dalam penggunaan bukti atau penyaksian, ia boleh dihujahkan dengan seluas-luasnya baik di peringkat Mahkamah Tinggi atau jika gagal ke peringkat Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan pula jika perlu,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!